Entri ini ditulis untuk menerangkan empat konstruk berkaitan identiti berikut: Diri (the self), kategori-kategori identiti, riwayat individu, trajektori identiti.

Empat konstruk ini perlu difahami jika anda ingin mendalami pengetahuan anda tentang IDENTITI. Seperti biasa, komen atau pertanyaan boleh dibuat di akhir entri. Saya akan cuba memberi komen balas atau menjawab kemusykilan anda sebaiknya.

<  K L I K jika ingin tahu definisi, makna istilah I D E N T I T I  >

DIRI (the self)

Diri adalah permulaan identiti. Identiti bermula apabila anda menyedari bahawa insan yang terlihat di dalam cermin adalah diri sendiri. Konsep ini juga dikenali sebagai ‘diri cerminan’ (self image atau mirror self) sebagai permulaan penjelajahan anda ke alam identiti.

Pada tahap seterusnya, diri cerminan anda semakin sedar bahawa anda pada hakikatnya tidak berseorangan di dunia ini. Di sekeliling anda, ada ramai individu wujud. Ada individu yang rapat seperti emak dan ayah serta adik-beradik, ramai pula yang tidak dikenali.

Yang jelas, hidup anda ‘terikat’ dengan hidup orang lain di sekeliling anda secara langsung dan tidak langsung. Proses hidup memerlukan anda memahami perkaitan anda dengan orang lain dan mengetahui peranan anda dalam jaringan sosial. Proses ini bakal membentuk identiti anda!

KATEGORI-KATEGORI IDENTITI

Secara amnya, identiti kita boleh dikategorikan kepada dua. Yang pertama digelar identiti individu/peribadi. Yang kedua digelar identiti sosial/majmuk.

Identiti individu lazimnya berkait rapat dengan cara anda melihat dan menerima diri anda sendiri, misalnya: “Saya anak sulung dalam famili ini”, “Saya pelajar berwawasan”, “Saya wanita kontemporari”, “Saya lelaki beraspirasi NeoMaskulin” (dan lain-lain lagi). Dalam erti kata lain, identiti individu adalah DIRI SAYA DI MATA SAYA.

Identiti sosial pula berkaitan dengan diri anda dalam jaringan sosial di sekeliling anda, misalnya: “Saya orang Asia”, “Saya punya adat ketimuran”, “Agama saya Islam”, “Melayu Bumiputera adalah kumpulan etnik saya”, “Bahasa ibunda saya Bahasa Melayu” (dan lain-lain lagi). Maka, identiti sosial adalah DIRI SAYA DI MATA ANDA DAN KITA SEMUA.

RIWAYAT INDIVIDU

Konsep riwayat individu penting untuk memahami identiti seseorang. Sebagai contoh, kenapakah ada lelaki yang tidak mahu mengaku dirinya itu laki-laki? Kalau dia ditanya, dia mungkin akan mengatakan bahawa dirinya seorang wanita (kerana sebab-sebab peribadi, kecenderungan biologi dan sebagainya).

Banyak contoh lain yang boleh difikirkan. Adakah seseorang yang tidak boleh berbahasa Melayu masih seorang warga negara Malaysia? Jika seseorang yang memeluk agama Islam, adakah dia secara automatik akan menjadi Melayu dan Bumiputera?

Oleh sebab identiti individu dan sosial begitu kompleks, kita perlu memahami riwayat individu berkenaan (sociohistory). Hanya dengan memahami riwayat individu itu dapat kita fahami identiti-identiti dirinya yang mungkin tidak sama atau terlalu berbeza daripada penerimaan akal biasa (common sense). Riwayat seseorang individu juga boleh memberi gambaran proses pembentukan identiti dirinya dari kecil hingga dewasa.

TRAJEKTORI IDENTITI

Trajektori identiti, dalam bahasa mudahnya, adalah proses perjalanan hidup seseorang. Misalnya daripada anak kecil menjadi kanak-kanak kemudian remaja. Remaja itu menjadi pelajar sekolah menengah kemudian seorang siswa/i universiti. Siswi/a itu pula menjadi graduan. Graduan itu pula menjadi ahli profesional. Kemudian dia menjadi suami. Dari suami dia menjadi ayah. Dan seterusnya.

Trajektori identiti amat berkait rapat dengan konsep MENJADI (‘becoming‘). Ambil contoh seorang siswa universiti. Mungkin tidak sampai separuh pengajiannya, siswa itu berasa bosan. Dia tidak ingin belajar lagi dan ingin terus ke alam kerjaya. Dia tinggalkan hidup sebagai pelajar universiti untuk menjadi ahli profesional, misalnya.

Trajektori ini mungkin tidak seperti kebiasaan (tamat pengajian, dapat sijil/diploma/ijazah KEMUDIAN barulah cari pekerjaan). Akan tetapi, hakikatnya mudah, ada 1001 trajektori identiti yang boleh dicuba dan dijelajah oleh setiap individu untuk ‘menjadi’ seseorang yang dia mahukan. Iaitu seseorang yang sesuai dengan perasaan dan pengalaman serta aspirasinya sendiri – ITULAH POTENSI IDENTITI.

<  K L I K jika ingin tahu 4 konstruk P E R S O N A L I T I pula  >

Selanjutnya…

INFORMASI tentang personaliti kanak-kanak prasekolah di weblog TeechConsult WordPress.

BAHAGIAN 1 kuiz/ujian personaliti kanak-kanak: Inventori Psikometrik Si Kecil Kontemporari.

BAHAGIAN 2 kuiz/ujian personaliti kanak-kanak: Inventori Psikometrik Si Kecil Kontemporari.

KUIZ/UJIAN personaliti individu remaja dan juga dewasa di weblog TeechConsult WordPress.