Entri ini ditulis untuk menerangkan empat konstruk berkaitan personaliti seperti berikut: Kecenderungan, pembawaan, psikometri/psikometriks, tipa personaliti.

Empat konstruk ini perlu difahami jika anda ingin mendalami pengetahuan anda tentang PERSONALITI. Seperti biasa, sebarang komen atau pertanyaan boleh dibuat di akhir entri ini. Saya akan cuba memberi komen balas atau menjawab kemusykilan anda sebaiknya.

<  K L I K jika ingin tahu definisi, makna istilah P E R S O N A L I T I  >

KECENDERUNGAN

Apabila kita membicarakan personaliti, kecenderungan tidaklah memberi kepastian 100% aspek/ciri personaliti tertentu yang dapat dilihat dalam diri sendiri (atau orang lain) hampir pasti akan kekal dalam diri anda atau individu itu sehingga akhir hayat.

Bagaimanapun, semakin tinggi darjah kecenderungan yang dinilai dan diukur (secara akademik, saintifik dan juga sahih) semakin tinggi pula kebarangkalian bahawa aspek/ciri personaliti berkenaan adalah agak dominan dalam diri anda atau individu tersebut.

Ini realiti penilaian personaliti manusia. Walaupun ia tidak memberi 100% kepastian, pada masa yang sama, aspek/ciri personaliti yang tinggi darjah kecenderungannya lazimnya bersifat dominan dan agak kekal dalam diri seseorang individu.

PEMBAWAAN

Pembawaan diri adalah bawaan atau aspek/ciri semula jadi seseorang. Dalam erti kata lain, agak susah untuk kita cuba mengubah pembawaan yang ditunjukkan seseorang individu. Misalnya, seseorang yang berpembawaan ‘pendiam’ akan menunjukkan sifat semula jadi yang berkaitan, berlainan pula dengan seseorang yang ‘ringan mulut’.

Pembawaan bolehlah disifatkan sebagai aspek/ciri personaliti yang paling dominan dan paling mudah dilihat dalam diri seseorang. Selalunya pula, pembawaan diri lebih mudah dikenal pasti oleh orang lain berbanding individu itu sendiri.

PSIKOMETRI, PSIKOMETRIKS

Psikometri [sebutan: psikométri] adalah kaedah dan juga teknik yang lazimnya digunakan untuk mengukur kepintaran berfikir seseorang. Ujian darjah kecerdasan atau ‘ujian IQ’ adalah contoh ujian psikometri yang sudah lama diguna pakai dalam bidang pendidikan, psikologi dan sebagainya.

Psikometriks pula boleh dibahagikan kepada tiga komponen. Kuiz/ujian (psikologi) personaliti adalah salah satu daripada tiga komponen utama disiplin ilmu psikometrik atau ujian serta penilaian psikologi manusia (Archer dan Smith, 2008). Penilaian psikometriks meliputi (1) kebolehan, (2) kecenderungan, dan (3) personaliti.

Penilaian psikometriks selalunya digunakan untuk membuat pemilihan serta memberi latihan berterusan, misalnya untuk mereka yang mahu memohon kerja atau mereka yang sudah agak lama bekerja di sesebuah organisasi. Namun, hari ini aplikasi ujian psikometrik tidak terbatas kepada bidang perindustrian sahaja dan kuiz/ujian psikometrik digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan dan sebagainya (rujuk Aiken, 1993).

TIPA PERSONALITI

Tipa personaliti adalah nama lain untuk ciri/aspek personaliti. Konsep dan teori personaliti sebenarnya bukan sesuatu yang baru dalam lipatan sejarah ketamadunan manusia. Kita sentiasa membuat perbandingan tentang perlakuan  diri sendiri (dan juga perbuatan serta tabiat orang lain) tanpa disedari.

Kita juga memberi pelbagai tipa (label) kepada diri sendiri dan orang lain – akur, berani, berdikari, cepat percaya, degil, ekstrovert, fatalis, introvert, mahu kelainan, negatif, pelawak, pemalas, pemalu, pemarah, pemimpin, penakut, pendesak, pengikut, peramah, perlu rutin, positif, rajin, realis, rendah diri, sentiasa perlu bantuan, serius, sombong, suka berangan-angan, terasa yakin, terlalu matang dan bermacam-macam lagi tipa/label lain – untuk menerangkan tentang subjek menarik yang didefinisikan sebagai ‘personaliti’ ini.

<  K L I K jika ingin tahu 4 konstruk I D E N T I T I pula  >

Selanjutnya…

INFORMASI tentang personaliti kanak-kanak prasekolah di weblog TeechConsult WordPress.

BAHAGIAN 1 kuiz/ujian personaliti kanak-kanak: Inventori Psikometrik Si Kecil Kontemporari.

BAHAGIAN 2 kuiz/ujian personaliti kanak-kanak: Inventori Psikometrik Si Kecil Kontemporari.

KUIZ/UJIAN personaliti individu remaja dan juga dewasa di weblog TeechConsult WordPress.