Sungguh pun weblog ini memfokus kepada personaliti remaja serta dewasa (dan kaedah serta radas menilai, mengukur psikologi personaliti remaja serta dewasa), PERSONALITI KANAK-KANAK juga suatu topik yang amat menarik untuk dikaji serta didalami. Malah, tidak lengkap rasanya jika topik ini tidak dibincangkan, walaupun tidak secara mendalam.

Atas dasar ini, entri berikut memberi sedikit maklumat tentang personaliti kanak-kanak. Pautan di akhir entri pula membawa anda ke weblog KIDSpad di mana dunia kanak-kanak menjadi fokus utama. Oleh itu, teruskan menimba ilmu pengetahuan berkenaan personaliti manusia!

* Petikan siri artikel PERSONALITI DIRI SI KECIL KONTEMPORARI untuk majalah Pa&Ma, Karangkraf (M), ruangan ‘Pendidikan Pra-Formal’, Julai 2012 (bahagian 1)

Beberapa komen dan soalan lazim berkaitan personaliti si kecil kontemporari:

Jika anda seorang ibu, bapa atau pendidik prasekolah pasti anda pernah terdengar komen atau soalan di bawah. Malah saya rasa, mungkin ada juga pernah membuat komen atau bertanya soalan yang sama pada detik-detik berbeza dalam hidup si kecil yang anda jaga atau didik.

Tidak ada jawapan yang akan diberikan namun anda diminta sama-sama memikirkan komen dan soalan di bawah dengan pasangan atau pendidik lain. Akhir sekali, kalau anda yang mendengar komen atau soalan seperti apakah respons yang mungkin anda berikan kepada individu berkenaan atau si penanya?

“Saya hairan tengok anak saya. Kalau di rumah bukan main aktif lagi. Mentang-mentang dia abang sulung jangankan adiknya, saya pun dia tidak takut. Tetapi, kalau di tadika malunya bukan main sampai cikgu tadika pun naik risau sebab dia terlampau pasif.”

“Si A kalau saya ajak dia baca buku pasti dia akan beri macam-macam alasan. Tetapi kalau ayahnya yang ajak, akur pula dia. Walhal, selama ini saya yang ajar dia pegang pensil, melakar dan mewarna. Apa salah saya?”

“Kalau tidak salah, beberapa bulan lepas anak saya suka sangat bermain di taman permainan. Kalau main sampai dia tidak mahu balik. Panjat sana, panjat sini. Kebelakangan ini jangankan panjat, kalau ke taman permainan dia akan minta pulang cepat-cepat. Kena sampuk apa agaknya?”

“Susah hati tengok anak kami. Dia macam lembab sikit berbanding anak orang lain. Sampai cakap pun dia malas. Cuma kalau dapat main susun suai gambar (jigsaw puzzle) atau menconteng kalau tidak tidur semalaman pun dia tahan!”

“Pelik saya tengok si B. Walaupun dia perempuan, lagaknya macam lelaki. Berani tidak bertempat. Budak lain misalnya takut tengok anjing. Dia kalau nampak anjing dia pergi baling batu. Budak lelaki pun dia tumbuk sampai berdarah hidung di tadika. Bila besar nanti macam mana dia agaknya?”

INGIN MAKLUMAT LANJUT?

BAHAGIAN 1 kuiz/ujian personaliti kanak-kanak: Inventori Psikometrik Si Kecil Kontemporari.

BAHAGIAN 2 kuiz/ujian personaliti kanak-kanak: Inventori Psikometrik Si Kecil Kontemporari.