Petikan draf manuskrip Siri Kuiz/Ujian Psikologi Personaliti, buku kedua
MENDALAMI PSIKOLOGI PERSONALITI: PEMBAWAAN DIRI

Bab 1, kuiz/ujian 3 – Kecenderungan memuja dan memuji diri sendiri

Setiap pagi di kaca televisyen dan di corong radio akan kedengaran suara-suara yang cuba memberi pandangan yang amat positif tentang diri anda. Kata mereka anda insan hebat, anda manusia cemerlang, anda yang terbaik antara yang terbaik, anda individu yang paling istimewa kerana sudah pastinya tidak ada individu lain lagi yang seperti anda di dunia ini!

Tidak dapat kita sangkal keperluan ego setiap individu untuk merasakan dirinya penting dan istimewa. Walau bagaimanapun, dorongan luaran seperti ini juga boleh memberi persepsi yang salah kepada diri dan orang lain.

Malah ia boleh membawa anda ke arah NARSISISME iaitu suatu keadaan mental di mana anda terlalu memuja serta mengagumi ‘kehebatan’ diri sendiri (sedangkan mungkin kehebatan itu tidaklah sebegitu hebat di alam realiti).

Statistik dari negara-negara maju menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya satu peratus penduduk di sesebuah negara akan cenderung memuja dan mengagumi diri mereka sendiri. Semua ini disebabkan pengaruh media massa dan juga industri dorongan luaran (motivasi) yang kononnya akan membantu anda berfikiran positif setiap masa dan ketika.

Masalahnya, berfikiran positif pada setiap masa dan ketika adalah sesuatu yang kurang sihat dari sudut kesihatan mental dan jiwa. Malah percaya atau tidak, keadaan seperti ini selalu pula dilihat dalam diri mereka yang menghidap penyakit jiwa.

Apa kata kita cuba nilai secara kasar, adakah anda seorang yang NARSISISTIK iaitu seorang individu yang cenderung memuja atau mengagumi diri sendiri secara berlebihan?

Anda hanya perlu menjawab “Ya” atau “Tidak” untuk kesemua sembilan soalan yang saya tanya SEJUJUR-JUJURNYA:

1/9:

Pernahkah anda terdengar orang lain di sekeliling anda mengatakan bahawa anda seorang yang suka meninggikan diri, angkuh dan/atau takbur?

2/9:

Dalam diam, adakah anda berasa cemburu dan/atau dengki dengan kejayaan dan juga harta-benda yang dimiliki oleh orang lain di sekeliling anda?

3/9:

Adakah anda cenderung bersikap tidak peduli atau menunjukkan apati dengan perasaan atau perkara yang sedang merisaukan orang lain di sekeliling anda?

4/9:

Adakah anda akan mengambil peluang/kesempatan ke atas diri orang lain jika perbuatan anda itu dapat memberi faedah kepada diri anda sendiri?

5/9:

Pernahkah anda merasakan bahawa anda perlu dilayan secara agak istimewa atau orang lain perlu berusaha lebih kuat untuk menjaga hati anda?

6/9:

Pernahkah anda membesar-besarkan cerita tentang kejayaan dan/atau bakat anda kerana anda merasakan bahawa apa yang anda lakukan itu amat penting?

7/9:

Pernahkah anda cuba mendekati atau berusaha agar diri anda kelihatan agak rapat atau bersahabat dengan orang yang terkenal atau mereka yang agak masyhur?

8/9:

Adakah anda selalu mengkhayalkan bahawa anda seorang yang amat penting, berkuasa, dikenali ramai, punya banyak harta kekayaan, cantik atau kacak?

9/9:

Pernahkah anda merasakan bahawa anda perlu dikenali dan dikagumi oleh semua orang yang berada di dalam lingkungan sosial atau di persekitaran anda?

Tentang jawapan-jawapan anda:

Jika anda menjawab “Ya” untuk lima atau lebih soalan yang telah saya tanya, ada kemungkinan anda seorang yang agak narsisistik, iaitu individu yang cenderung memuja atau mengagumi diri sendiri secara berlebihan.

Kesemua sembilan soalan yang saya tanya tadi disesuaikan daripada beberapa kuiz/ujian psikologi personaliti yang cuba menilai manifestasi ciri narsisistik dalam diri seseorang.