Seorang teman-kekasih akan membawa dan memberi yang terbaik kepada anda dari dua dunia yang berbeza – dunia persahabatan dan dunia romantis.

Seorang teman-kekasih melengkapkan ciri yang selama ini tidak cukup dalam identiti anda dan memperbaiki sifat yang selama ini menjadi kelemahan dalam personaliti anda.

Dia adalah tempat anda meminta pandangan yang jujur tentang sesuatu yang sedang anda usahakan.

Dia adalah pengkritik anda yang paling pedih, demi kebaikan anda sendiri.

Dia adalah pemberi buah fikiran yang bernas walaupun mungkin usaha anda berada di luar ilmu dan pengetahuannya.

Dia adalah pemberi pandangan kedua kepada idea-idea anda yang sedang dibentuk.

Dia adalah tempat anda mengadu pada penghujung hari yang amat sedih serta kelam seandainya segala yang anda usahakan ditakdirkan menemui kegagalan pada hari itu.

Dia akan memberi anda kasih dan cintanya untuk menutup segala rasa gelisah dan juga resah yang melanda fikiran anda.

Dia akan sentiasa berdiri tegak di sebelah anda kerana dia juga merasai kasih-cinta anda sepenuhnya.

Sesungguhnya dia anugerah yang paling bererti.

Dia seakan-akan titisan embun dingin di hati sanubari.

Dia pasti memberi erti sebenar kepada jiwa dan peribadi.

 

* Petikan buku VIGNET KASIH-CINTA yang kini sedang dalam proses penerbitan.