Mengenal sahabat: 10 perkara yang perlu anda ambil tahu…
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘Rapi’, ruangan ‘Motivasi’, 1 November 2006

Sahabat. Rakan. Kawan. Semuanya membawa konotasi dan pengertian berbeza tetapi di penghujung hari, sahabat yang baik boleh menjadikan hidup kita lebih bererti dan bermakna. Nilai persahabatan memang terlalu tinggi untuk diungkapkan, tetapi bagaimana caranya untuk mengenal sahabat anda? Dan, bagaimana caranya untuk tahu jika sahabat baik anda sekarang benar-benar layak dipanggil ‘sahabat’?

1. Sahabat yang sejati, tidak ramai.

Ertinya, jika anda mahu mengenal siapa sahabat anda yang sebenar, selalunya dia adalah di antara mereka yang istimewa dalam hidup anda. Dia bukan sekadar kenalan anda yang begitu ramai, tetapi tidak pula membawa kesan atau memori yang berkekalan.

2. Sahabat yang sebenar, jujur.

Kejujuran di sini bermakna anda dan sahabat anda boleh sama-sama memberi pendapat dan komen demi kebaikan, bukan sekadar menyedapkan hati dan telinga dengan pujian tidak ikhlas. Walaupun kadangkala pedih, ia dilakukan demi kebaikan bersama.

3. Sahabat yang baik, berhati ikhlas.

Jarang sekali manusia melakukan kebaikan kecuali mereka mahukan sesuatu sebagai balasan. Jadi, anda perlu ambil tahu sama ada sahabat anda itu ikhlas hatinya atau pun tidak. Jika dia ikhlas, maka kemungkinan besar dia adalah sahabat yang sejati.

4. Sahabat yang elok, tidak menilai.

Dalam hidup, semua orang menilai kita dan membuat tanggapan yang (selalunya) salah atau tidak tepat. Akan tetapi, sahabat yang elok tidak pula menilai diri anda, malah dia menerima diri anda seadanya seperti juga anda menerima dirinya sepenuhnya.

5. Sahabat yang mengerti, mahu mendengar.

Asalkan kena pada caranya dan anda tidak pula terlalu meminta perhatian, sahabat anda sentiasa mahu mendengar segala keluhan rasa hati anda yang tidak diketahui orang lain. Oh ya, jangan lupa anda juga perlu mendengar suara hati sahabat anda itu!

6. Sahabat yang sejati, setia bersama.

Seseorang yang bergelar sahabat menemani anda bukan hanya ketika waktu ketawa, tetapi lebih utama, waktu kita sedang menangis dan kesepian kerana dilanda kesusahan dan kepayahan. Bagaimana pula kisahnya dengan sahabat baik anda?

7. Sahabat yang sebenar, menyimpan rahsia.

Adakah sahabat baik anda seorang yang boleh dipercayai? Adakah dia seorang yang jujur dalam menyimpan segala rahsia dan kejelekan diri anda yang dia tahu? Jika tidak, maka kemungkinan besar gelaran itu terlalu tinggi untuk diberikan kepadanya.

8. Sahabat yang baik, tidak menikam curi.

Ramai yang sering mengaku sahabat tetapi tidak setia dalam persahabatan. Jika anda pernah ditikam dari belakang oleh sahabat yang  anda beri kepercayaan, masihkah anda memanggil insan itu sahabat? Adakah layak dia itu dilihat sebagai seorang sahabat?

9. Sahabat berbudi boleh dibawa pulang ke rumah.

Jika anda masih merasakan sahabat anda itu tidak boleh dibawa pulang, misalnya untuk bertemu ibu bapa anda, besar kemungkinan dia bukanlah sahabat sebenar (ini pesan yang diberikan oleh salah seorang sahabat baik saya). Memang benar, ada ‘sahabat’ yang hanya layak dibuat sahabat tepian jalan saja.

10. Sahabat yang layak digelar sahabat, membawa kebaikan!

Tidaklah dipanggil sahabat jika dia membawa anda ke arah kerosakan atau anda yang membawa sahabat anda itu ke arah kerosakan juga. Jika anda dan dia sama-sama boleh menjadi manusia yang lebih baik, nah itulah yang dipanggil persahabatan seorang sahabat sejati. Seorang rakan dan teman sampai ke mati!