Petikan Bicara Neo Maskulin, majalah Maskulin, Karangkraf (M) Jun ’10
Bicara Tentang Sang NeoMaskulin

Sembilan tahun! Begitu lama sebenarnya, sejak terma lelaki neo atau ‘Neomaskulin’ mula terpampang di beberapa majalah Malaysia. Usaha untuk memperkenalkan konsep sang neomaskulin kemudian diteruskan dengan terbitnya buku dalam bahasa Melayu tentang lelaki neomaskulin. Dan usaha ini disambung dengan ruangan bulanan ini yang telah beberapa tahun bersama anda.

Konsep neomaskulin sebenarnya dikongsi juga dengan sahabat-sahabat neo kita di negara Jerman, yang mana telah memperkenalkan identiti ini beberapa tahun lebih awal lagi daripada kita di Malaysia, Singapura dan Brunei – di mana majalah-majalah negara kita boleh dibeli. Anda hanya perlu membuat carian internet dengan kata kunci ‘neomaskulin’ untuk mendalami identiti lelaki baru ini.

Senarai semak 10 ciri lelaki beridentiti neomaskulin

Identiti neomaskulin sebenarnya mempunyai erti dan implikasi yang spesifik dan amat tepat, seperti juga terma lelaki homoseksual, uberseksual, ‘yuppie’ dan sebagainya. Anda hanya boleh menganggap diri anda sebagai lelaki neomaskulin jika anda boleh menjawab dengan tepat dan yakin semua soalan di bawah.

Jika anda sedang berusaha ke arah itu juga, anda dibenarkan melihat diri anda sebagai lelaki neomaskulin. Tetapi, anda masih perlu memiliki kesemua sepuluh ciri berkenaan. Jika tidak atau anda tidak memiliki walaupun hanya satu ciri berkenaan maka anda belum boleh sebenarnya menggelarkan diri anda lelaki neomaskulin walaupun sekadar nama gelaran di internet.

Ini kerana jika saya menggunakan nama gelar ‘Batman’, ‘Spiderman’ atau mungkin juga ‘Keluang Man’ sudah tentu saya sekadar ingin membuat lawak bodoh, sekadar melucu atau merapu. Dan anda juga tentu tahu bahawa saya tidak memiliki ciri-ciri wira komik, televisyen dan filem berkenaan, bukan? Begitu juga kesnya apabila anda menggelarkan diri anda sang neomaskulin tetapi anda tidak punya sepuluh ciri di bawah…

 

ARAHAN: Pilih – “Saya miliki ciri ini” / “Saya sedang berusaha ke arah itu” / “Saya tiada ciri ini” – untuk setiap ciri lelaki neomaskulin sejati: 

Ciri lelaki neomaskulin pertama: Berfikiran global

Kelompok lelaki neomaskulin tidak menghiraukan batasan kemanusiaan yang bersifat jumud dan bercorak pengasingan semata-mata. Oleh sebab itu, mereka mampu menerima pandangan orang lain yang ikhlas dan mendengar kritikan terkawal demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat, hari ini dan pada masa hadapan.

Ciri lelaki neomaskulin kedua: Pandai menilai

Sang neomaskulin pandai menilai situasi dan hati budi orang lain di sekeliling mereka. Mereka lazimnya tidak terlalu cepat melatah dan membuat kesimpulan yang membabi buta tentang orang lain. Pada masa yang sama mereka juga harus selalu menilai kemampuan dan kelemahan diri, demi proses penambahbaikan berterusan.

Ciri lelaki neomaskulin ketiga: Memberi dan menerima

Sebagai sang neomaskulin, anda perlu menjadi seorang lelaki yang bersifat pemurah dan dapat mengimbangi di antara memberi dan menerima (sambil memberatkan usaha untuk memberi kepada orang lain daripada menerima saja). Usaha ini perlu diterapkan di dalam semua aspek kehidupan anda sebagai lelaki neomaskulin dunia pascamilenium.

Ciri lelaki neomaskulin keempat: Sentiasa berdaya saing

Persaingan yang sihat dapat memastikan kelompok lelaki neomaskulin tidak kekal dalam kedudukan statik dan terlalu cepat gembira dengan segala yang telah mereka usahakan. Proses penambahbaikan dalam menjalankan tanggungjawab seharian menjadi teras hidup lelaki neomaskulin pascamilenium.

Ciri lelaki neomaskulin kelima: Punya nilai feminin positif

Ini bukan bermakna setiap lelaki neomaskulin harus memakai baju kurung, pakaian dalam wanita dan mengenakan gincu. Nilai feminin positif seperti lemah-lembut, bantu-membantu dan banyak lagi harus dicontohi, supaya lelaki tidakkan pupus. Pastikan nilai feminin negatif seperti rajin bergosip dan mengata orang tidak pula menjadi ikutan!

Ciri lelaki neomaskulin keenam: Sifat empati yang tinggi

Nilai empati membantu sang neomaskulin merasai apa yang dirasakan oleh orang lain di dalam ruang hidupnya. Jika semua manusia di muka bumi ini mempunyai nilai empati nescaya dunia kita akan menjadi lebih aman serta sejahtera. Empati juga membantu lelaki neomaskulin menjadi manusia yang memiliki kompas moral peribadi.

Ciri lelaki neomaskulin ketujuh: Rasional dalam tindakan

Antara sifat lelaki prasejarah yang bersahabat dengan dinosaur adalah mereka sering panas baran. Sang neomaskulin sentiasa belajar untuk menyemai sifat sabar dalam dirinya agar dia dapat lebih rasional dalam tindakan. Nescaya ini akan membantunya dari segala segi terutama di dalam perhubungan dengan orang lain.

Ciri lelaki neomaskulin kelapan: Mahu memajukan diri

Jika kita mahu maju, kita tidak harus cepat menolak peluang yang diberikan dan kita juga harus bijak dalam mencipta peluang baru. Oleh sebab itu, sang neomaskulin tidak cepat berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini dan dia sentiasa mahu menghadapi cabaran baru yang lebih sukar.

Ciri lelaki neomaskulin kesembilan: Tidak cepat mengalah

Sifat cepat mengalah menandakan personaliti yang lemah dan itu bukan seorang individu yang mampu memikul tanggungjawab. Sang neomaskulin tidak akan cepat mengalah dan menyerahkan segalanya kepada takdir. Pepatah berpantang maut sebelum ajal menjadi cogan kata hidup lelaki neomaskulin pascamilenium.

Ciri lelaki neomaskulin kesepuluh: Sentiasa belajar dan menimba pengalaman

Ini adalah kriteria utama yang akan menentukan sama ada anda seorang neomaskulin atau tidak. Kemampuan belajar dan menimba pengalaman serta meminta pendapat orang lain dengan rendah diri (walaupun daripada wanita atau kanak-kanak) – akan memastikan sang neomaskulin tidak pupus atau mati ketika sedang hidup, asalkan dia tidak pula menjadi angkuh, bongkak atau sombong bila ilmu penuh di dada kelak!

 

Rujukan utama: Senarai semak ini dipersembahkan kepada anda berdasarkan keseluruhan isu dan topik yang telah dibincangkan dalam buku ‘Menjejak Sang Neomaskulin’ terbitan Buku Prima (2008).

Airil Haimi Adnan adalah pensyarah UiTM Perak dengan pengalaman sebagai penyelidik dan perunding. Di media Airil membicarakan isu-isu sains sosial kontemporari. Untuk informasi dunia neomaskulin, e-mel airil@teechconsult.com dan layari www.teechconsult.com