* Vignet (dari perkataan Perancis ‘vignete’ dan Inggeris ‘vignette’, dengan sebutan \vin-ˈyet\ atau \vēn-yet\) = sketsa, esei atau naratif ringkas yang terbentuk dari komposisi yang teliti, padat, tepat dan hati-hati; vignet juga boleh memberi gambaran suatu tempoh masa, watak, latar atau idea.

EH! ForumPersonal, edisi November 2004
bersama Airil Haimi Adnan, EH! resident counsellor

[Column lead-in] Kini Bebas…

Setiap dari kita pasti akan merasai bagaimana untuk mencintai dan dicintai oleh seseorang. Ada yang bertuah dan terus menemui kasih-cinta sejatinya, hingga ke alam perkahwinan. Ada pula yang terpaksa mencuba berkali-kali dan terus gagal untuk memelihara kasih dan cinta.

Yang pasti, perasaan kasih-cinta adalah suatu perasaan yang amat hebat dan hanya boleh difahami setelah ia dirasai oleh seorang teman-kekasih!

Kasih-cinta sejati bukanlah berdasarkan temujanji demi temujanji, pemberian hadiah, menelefon pasangan setiap 5 minit, atau berkepit ke sana ke mari walau ke tandas sekalipun. Kasih-cinta sebenar ‘membebaskan’ kita untuk menjadi diri kita yang terbaik, ianya membantu kita untuk mencari ketenangan fikiran dan ianya adalah suatu nikmat kehidupan yang dikurniakan Tuhan.

Sayang sekali, kasih-cinta yang sebenar bukanlah mudah untuk dicari, tetapi senang pula untuk hilang dalam sekelip mata. Sedangkan mereka yang sudah berkahwin pun boleh bercerai, apa lagi sepasang teman-kekasih yang baru sahaja ingin merasai kasih-cinta.

Kerana itulah kasih-cinta yang sepatutnya membawa kebebasan jiwa, ketenangan fikiran dan nikmat kehidupan; selalu pula mendatangkan tangisan, marah, dendam, cemburu dan akhirnya sedih yang berlarutan hingga rosak binasa usaha, dan pincang pula kehidupan.

Saya cadangkan anda dengar lagu Camelia dan Anuar Zain, yang menjadi tajuk Forum Personal bulan ini. Mungkin ianya bukan seromantis kisah kasih Romeo dan Juliet, atau sehebat cinta Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang – tetapi setakat ini saya percaya, lagu ini adalah contoh terbaik yang boleh dijadikan panduan tentang intipati kasih-cinta yang benar, ikhlas dan tulus.

Adakah kasih-cinta yang anda sedang rasai sekarang ini menghilangkan keresahan, melenyapkan keraguan dan membawa kebebasan? Nilailah sendiri dengan benar, ikhlas dan tulus jika anda mahukan kasih-cinta yang memberi kebebasan dan bukan membelenggu!