Kisah Kehebatan Kesesuaian
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Kata Lelaki’, 2002

Sekali imbas, tajuk di atas seperti nama sebuah novel remaja atau filem arthouse. Mungkin juga, tetapi bukan kali ini. Konsep kehebatan kesesuaian adalah mengenai hubungan kasih-cinta manusia dari perspektif sosio-psikologi, bukan hanya daripada kacamata lelaki tetapi juga kanta sesentuh wanita. Mari kita mulakan!

Setuju atau tidak? Kehidupan hari ini terlalu dipengaruhi media dan dibayangi budaya popular. Kisah romantis yang dilihat menerusi ‘soft-effect filter’, menjadi gambaran realiti baru dunia nyata. Dari bunga mawar ke coklat manisan hinggalah makan malam berteman cahaya lilin.

Benar atau tidak? Gadis dan jejaka terlalu cepat dibuai ke alam fantasi percintaan yang penuh keasyikan dan dihiasi sejuta keindahan. Akibatnya, terlalu ramai antara mereka yang terpedaya dan mula menerima segala-galanya tanpa rasa curiga dan tanpa banyak persoalan.

Yang diutamakan oleh imejan budaya popular adalah perhubungan cinta ultra-romantis, yang sepertinya akan kukuh menghadapi segala macam permasalahan. Jika ada masalah pun semuanya bisa diuraikan dengan cepat sekali oleh pasangan super-kekasih. Perpisahan mungkin terjadi, tetapi di alam cinta romantis 2-dimensi ini kasih sayang mengatasi segalanya dan kasih-cinta mekar abadi. “They will live happily ever after!”

Boleh diterima atau tidak? Bunyi macam tipu saja, bukan? Tepat sekali tekaan dan tembakan. Selamat kembali ke alam realiti – di bumi nyata perhubungan kasih-cinta abadi (ataupun tidak) pastinya akan ketemu masalah demi masalah dan banyak lagi kesukaran dari titik mula. Sebabnya, kasih-cinta dan kehidupan manusia sentiasa melalui proses evolusi, kedua-duanya pasti akan berubah dan mengadaptasi.

Apakah yang selalu terjadi dengan dua pencinta, apabila realiti kehidupan terpaksa ditempuhi? Bolehkah konsep sehidup-semati ala Romeo dan Juliet kekal teguh nanti? Mungkin tidak. Cinta hakiki membawa makna jika Juliet atau Romeo melangkah pergi, si dia yang ditinggalkan akan meneruskan kehidupan dan menyambung pencarian diri demi kebahagiaan abadi. Cinta yang hanya membawa ke mati? “Is a selfish kind of love, really!” 

Saya pohon kepada anda lupakan sebentar cinta romantis 2-dimensi dan mari menjenguk ke dunia realiti yang bukan fantasi. Di dunia realiti, hubungan kasih-cinta yang kekal selalunya berpandukan kepada paradigma ‘goodness of fit’.

Banyak kajian menunjukkan yang kehebatan kesesuaian lebih menjamin kekalnya kasih-cinta, jikalau dibandingkan dengan perhubungan yang dibina bermula daripada persamaan romantis sahaja. Anda inginkan perhubungan yang kekal? Carilah teman-kekasih yang sesuai dengan anda seperti dua bahagian ‘jigsaw puzzle’  yang amat berbeza dan tidak akan sama… tetapi padan!

Apapun, kesesuaian di sini membawa banyak maksud yang berbeza, terpulanglah kepada individu yang mengutarakannya. Namun selalunya, kesesuaian diukur berdasarkan kepada perbezaan tidak romantis dan daya tahan di antara sepasang kekasih. Dipendekkan kisah – lebih banyak perbezaan antara pasangan pencinta, lebih besar potensi untuk perhubungan itu kekal, asalkan mereka boleh memberi serta menerima.

Ini mungkin anti-thesis kepercayaan kita selama ini, bukan? Tetapi percaya atau tidak, perhubungan selalunya kekal lama antara dua pencinta yang penuh kelainan dan keunikan. Itulah sebabnya pernikahan pilihan keluarga selalunya kekal teguh, bukan hanya kerana kepandaian dan restu para penemu-jodoh (matchmakers).

Percayalah bahawa terdapat risiko jika perhubungan dijalin hanya berdasarkan persamaan romantis. Bayangkan… jika berlaku konflik kelak, pasangan kekasih mampu bercakaran ke tahap yang melampau kerana masing-masing tahu dan faham akan perkara yang menyakitkan dan menyeksakan sesama mereka.

Logik atau tidak? Amat menakutkan jikalau berperang dengan bayangan sendiri, bukan? Dua dunia yang serupa akan bertindih dan pertindihan menimbulkan konflik dan masalah komunikasi, lebih-lebih lagi untuk pasangan pencinta romantis nanti.

Kehebatan kesesuaian juga bererti jika kasih-cinta dimulakan dari satu titik perbezaan (bukan persamaan) pasangan kekasih harus mengenali hati budi sesama sendiri daripada segala segi. Setiap saat komunikasi dan setiap detik bersama, adalah suatu pengalaman baru. Kebosanan makin pudar dan mungkin hilang terus daripada kamus hidup kedua pencinta kita.

Sebenarnya, tidak akan sentiasa wujud jurang perbezaan jika teman pencinta anda mempunyai tabiat kegemaran yang kurang disenangi dan berfikiran yang amat berbeza. Sepasang pencinta yang hebat kesesuaian mereka akan mudah berasa empati, cuba untuk berubah jika perlu dan berkembang sejajar dengan masa, kemahuan dan keupayaan untuk sama-sama mencipta kebahagiaan masa hadapan.

Tetapi berhati-hati, ya! Jangan berubah semata-mata kerana teman-kekasih anda yang meminta perubahan. Berubahlah kerana sama-sama sudah saling memahami, beralaskan kebaikan diri sendiri untuk perhubungan dan kebahagiaan yang sejati.

Sukar sebenarnya mencari kehebatan kesesuaian, tetapi ia tidak juga mustahil. Yang pasti kasih-cinta memerlukan masa dan ruang untuk berputik, berbunga dan mungkin juga berbuah.

Imej kasih-cinta budaya popular tidak dapat menggambarkan pengalaman hidup dua pencinta. Akibatnya dalam kasih-cinta, ramai yang terpedaya dengan idealisme romantis seperti paras-rupa, harta-benda, status sosial dan bermacam lagi ukuran yang bersifat sementara. Mampukah semua itu kekal lama merentas segalanya? Rasanya tidak.

Lain pula kisahnya antara dua teman-kekasih yang hebat tahap kesesuaian mereka, mungkin kedua-duanya membenci tabiat buruk dan tahap pemikiran satu sama lain, mungkin juga kedua-duanya memiliki cara gaya hidup yang seperti bulan dan matahari perbezaannya – namun kedua mereka berkemampuan berkongsi ruang kehidupan, terus berkomunikasi tanpa batasan dan tidak cepat terpedaya dengan imejan cinta romantis 2-dimensi budaya popular.

Temuilah kasih-cinta yang hakiki di dunia realiti, berpandukan hebatnya darjah kesesuaian di antara anda dan dia yang bertakhta di hati. Mulakan dari detik ini. Mari?