KUIZ: Ujian personaliti antara anda dan ‘Si Comot’
Airil Haimi Adnan untuk Majalah ‘EH!’, segmen ‘Kuiz’, 2005

Siapakah dia si Comot itu? ‘Si Comot’ yang saya maksudkan adalah haiwan kesayangan anda, tidak kira apa sahaja nama yang anda berikan kepadanya – ‘comot’, ‘ci bucuk’, ‘sang gedebe’, ‘Michael Jackson’, ‘Erra Fagila’ atau ‘Awie Sembulu’. Dan secara idealnya, haiwan ini adalah milik anda sendiri dan bukan orang lain. Namun jika anda tidak mempunyai haiwan peliharaan atau anda lebih senang meletupkan mercun papan di atas kepala setiap haiwan kecil yang anda lihat, anda boleh memikirkan tentang haiwan kesayangan individu lain yang anda kenali.

Walau bagaimanapun saya harus memberi peringatan, bahawa kuiz kali ini agak nakal dan tidak adil – Antara objektifnya adalah untuk membantu anda mengetawakan diri sendiri. Tetapi, ini tidak bermaksud yang kuiz ini tidak bermanfaat kerana ia akan mengukur dimensi kewujudan diri dan kemahuan anda yang paling dalam yang anda sendiri mungkin terlupa!

Apa yang anda perlu lakukan adalah sangat mudah, anda hanya perlu membandingkan diri anda dengan haiwan kesayangan itu serta memilih sama ada ‘Si Comot’, ‘Saya’ atau ‘Kami Berdua’ untuk setiap pernyataan yang saya berikan. Ingat, walaupun kuiz ini agak lucu dan bersahaja, tetapi apa yang diukur adalah serius jadi fikirkanlah jawapan anda sedalamnya!

PERNYATAAN

1. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…selalu bersenam dan melakukan kegiatan riadah dengan bersemangat dan gembira.

2. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…tidak mempunyai kesulitan untuk makan makanan yang sama setiap hari.

3. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…selalu mencuba untuk tenang tanpa terlalu memikirkan kesulitan dan kepayahan hidup.

4.. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…tidak memerlukan bantuan ubat-ubatan untuk tidur dan menenangkan jiwa yang resah.

5. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…jarang mengalami stress dan tekanan perasaan dalam kehidupan sehari-hari.

6. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…sentiasa cuba meneroka dan menjelajah alam semulajadi yang indah serta menenangkan.

7. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…tidak terlalu sensitif lantas menyimpan dendam, setiap kali dikritik atau dipersalahkan.

8. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…tidak menghadapi masalah bergaul dengan individu lain yang rendah tahap pendidikannya.

9. Si Comot / Saya / Kami Berdua…
 
…tidak merasakan perlu untuk memperbetulkan kesilapan semua individu yang dikenali.

10. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…selalunya tidak perlu berbohong dan menipu dalam apa jua situasi dan keadaan.

11. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…tidak akan melayan seseorang dengan lebih baik hanya kerana kedudukannya lebih tinggi.

12. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…tidak akan menjatuhkan air muka seseorang yang statusnya agak lebih rendah.

13. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…bukan seorang kaki rokok, kaki botol atau seorang yang mengambil dadah dan pil khayal.

14. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…memiliki bentuk dan berat badan yang sesuai dengan saiz rangka dan peringkat umur.

15. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…boleh menahan diri dari selalu membuat komplen atau menghina kekurangan diri sendiri.

16. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…dapat menerima realiti bahawa meminta perhatian 24 jam sehari membosankan orang lain.

17. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…tidak pernah prejudis dengan perbezaan warna kulit, kaum, atau agama individu lain.

18. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…selalu mengetawakan diri sendiri apabila membuat salah dan silap serta memperbaiki diri.

19. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…sayangkan diri sendiri dan dapat menerima diri sendiri seadanya, dengan jujur dan ikhlas.

20. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…selalu tenang dan tidak terlalu memikirkan perkara yang tidak perlu difikir dengan serius.

21. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…kurang ambil pusing dengan orang lain yang cuba menyakitkan hati tanpa apa-apa sebab.

22. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…memandang ke hadapan demi hari esok dan tidak terperangkap dengan masa lalu sahaja.

23. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…menerima suratan takdir walaupun mungkin agak lebih lambat berbanding orang lain.

24. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…suka berfantasi sambil memikirkan perkara yang sihat dan bukannya hal-hal yang merapu.

25. Si Comot / Saya / Kami Berdua…

…hidup untuk hari ini dan menerima kehidupan ini sebagai suatu cabaran sebelum mati.

CARA MENGIRA SKOR ANDA…

Setiap satu soalan bernilai ‘1’ mata. Jumlahkan setiap pernyataan di mana anda memilih ‘Si Comot’ dan lakukan yang serupa untuk pernyataan di mana anda memilih jawapan ‘Saya’. Jika pilihan jawapan ‘Saya’ adalah lebih banyak dari pilihan jawapan ‘Si Comot’, bermakna anda mungkin berbohong atau anda mencemburui haiwan kesayangan anda itu.

Secara purata, 98% individu yang mencuba kuiz ini akan ditewaskan oleh haiwan kesayangannya (dan ini adalah sesuatu yang normal)! Kuiz ini cuba mengukur pandangan dunia, sikap serta cara tindakan anda. Ia cuba melihat ke dalam diri anda… yang paling dalam yang mungkin anda sendiri sudah terlupa atau sudah tidak hiraukan.

Anda diminta membandingkan diri dengan haiwan kesayangan, kerana lazimnya kita selalu membayangkan hidup individu lain (termasuk haiwan kesayangan kita) sebagai jauh lebih baik daripada hidup kita dalam segala segi. Jadi, lebih mudah untuk kita memberi alasan demi alasan jika hidup kita kurang bahagia dan kosong – Sedangkan kita juga mampu menjadi seperti Si Comot dan memiliki hidup yang gembira, tenang serta penuh bererti!