Ekspresif, Impresif… Wow!
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Kata Lelaki’, 2005

Untuk memproses dan juga mengintepretasi maklumat, otak manusia mempunyai kebolehan sensori luar biasa. Dalam detik 0.2 saat sahaja, data yang diterima oleh deria kita akan diproses dan diintepretasi. Sistem bio-elektrik otak membolehkan kita menerima dan memahami pelbagai jenis data dengan cepat, membantu kita mengatur tindakan atau respons yang sepatutnya. Sememangnya, otak manusia mempunyai kebolehan impresif!

Namun, apakah erti semua ini dalam realiti kehidupan sehari-hari? Mungkinkah ia membuat kita terperdaya dengan imej awal, yang selalunya salah dan tidak tepat? Sebagai seorang pengkaji manusia, saya tidak suka kepada first impression. Ianya suatu konsep yang membuatkan ramai individu tertipu dengan imej hebat yang ditonjolkan sehingga mereka terlupa untuk menilai sesuatu atau seseorang dengan lensa wide angle.

Anda mudah percaya dengan apa yang dilihat?

Sebagai contoh, anda mungkin teruja apabila melihat seorang artis di kaca televisyen atau tergoda dengan suaranya yang lunak di corong radio. Ditakdirkan suatu hari nanti anda ketemu dengan artis itu, adakah imej indah yang beliau tonjolkan akan terlihat? Atau anda akan sakit hati apabila sedar segalanya hanya indah khabar dari rupa, dan idola anda itu langsung tidak layak dilihat dan diterima sebagai idola?

Nah, inilah masalahnya apabila otak kita menerima rangsangan deria dan data tanpa tapisan, dan kita pula bertindak serta membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Imej dan bunyi yang kita terima dari menonton artis kegemaran di kaca televisyen, membuat kita jatuh cinta dengan bayang-bayang yang tidak seindah popularitinya. Begitulah cerita teman-teman saya yang bekerja dengan pihak media massa.

Dalam masa yang sama, ada juga manusia yang tidak kelihatan hebat pada pandangan pertama kerana beliau seorang yang biasa dan sederhana. Tetapi, dalam kebiasaan dan kesederhanaan yang membawa erti kebosanan (kerana orang lain juga ramai yang biasa dan sederhana) kita selalu terlupa bahawa intan berlian dahulunya berasal dari karbon yang berwarna hitam-kelabu dan tidak mempunyai nilai. Anda faham maksud saya?

Setiap dari kita mempunyai kemampuan untuk menjadi impresif, tetapi yang lebih utama adalah personaliti dinamik dan ekspresif. Saya rasa, ini lebih penting dari hanya menonjolkan imej yang boleh dibuat-buat. Seorang manusia ekspresif, mempunyai daya tarikan tersendiri serta cahaya yang datang dari dalam dirinya. Inilah kehebatan sebenar dan ianya tidak boleh ditiru, direka atau dilakonkan. Ianya asli, benar dan tulus.

Jadi, kita harus berusaha agar tidak menjadi mangsa rangsangan deria yang cepat teruja dengan imejan buatan manusia. Kita harus belajar menjadi ekspresif dan kemudian kita akan menjadi impresif pula, dan bukan sebaliknya. Kalau kita berusaha untuk menjadi impresif dahulu, akan timbul masalah apabila imej hebat yang kita tonjolkan tidak dapat dibuktikan oleh personaliti ekspresif. Dalam ertikata lainnya, yang terlihat biasa dan sederhana selalunya lebih hebat dari yang ditonjolkan sebagai penuh glamor dan impresif.

Walaupun jarang kita lihat, ada juga individu yang telah dapat menggabungkan kedua-duanya. Dan mereka inilah, yang kita cari-cari sebagai idola sebenar. Mereka glamor dalam sederhana, ekspresif serta impresif serentak dan senada. Hanya ada satu perkataan untuk menggambarkan mereka ini, dan perkataan itu adalah “Wow!”

Mereka ada di sekeliling kita, dan siapa tahu mungkin anda salah seorang dari mereka. Jika anda boleh menggabungkan sederhana dengan glamor, tentunya anda seorang yang amat impresif dengan nilai ekspresif tersendiri. Tidak perlu peningkan kepala memilih idola untuk menjadi contoh ikutan, mulakanlah dengan kemampuan diri dan menjadikan ianya hebat tersendiri. Di kala itu nanti, personaliti anda akan berkadaran terus dengan pandangan pertama orang lain. Mereka tentunya akan berkata “Wow!”

Apa tidaknya anda benar-benar unik dan tersendiri, dengan keindividuan dan personaliti lain dari yang lain. Mungkin anda kelihatan biasa, tetapi anda luar biasa. Mungkin anda kelihatan sederhana, tetapi anda hebat dalam sederhana. Mungkin anda kelihatan kecil, tetapi anda besar dengan semangat dan nilai kemanusiaan. Anda ekpresif dan impresif, kerana anda memiliki substance, bukan sekadar omong kosong semata-mata.

Kata pepatah Inggeris (yang diterjemahkan ke bahasa kita), jangan nilai isi kandungan sebuah buku hanya dari kulit luarnya. Tetapi bayangkanlah, jika kulit luar dan isi kandungan sama hebat, bukankah itu yang kita cari-cari? Jika terlalu sukar untuk anda bayangkan, ingat sahaja majalah kesukaan anda ini. Kulit luarnya begitu cantik, isi kandungannya amat menarik. Ianya ekspresif dan impresif, tidak ada yang akan serupa dengannya walaupun ia ditiru atau diciplak. “Wow!”

Apa kata orang lain nanti tentang anda?

Begitulah seharusnya dengan diri anda. Dalam setiap helaian kehidupan yang anda tulis, pastikan ianya mengandungi pengalaman luar biasa dalam sederhana. Dalam setiap tindakan yang anda ambil, pastikan ianya hasil fikiran kritis, bukan rangsangan deria. Dan ketika itu nanti, imej yang anda tonjolkan pasti kelihatan impresif kerana anda individu ekspresif. Apa kata orang lain nanti tentang anda? “WOW!”