9 Petua untuk Teman-Kekasih Idaman
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Anda dan Dia’, 2004

Siapa yang tidak pernah melakukan kesalahan dalam perhubungan kasih-cinta? Siapa yang tidak pernah berselisih pendapat dan fahaman dalam mengharungi hidup sehari-hari dengan teman-kekasih? Tidak kira siapa yang salah ataupun tidak, kali ini saya menjemput anda untuk melihat di dalam diri sendiri dalam menyediakan diri anda untuk mengharungi sebuah perhubungan kasih-cinta.

Sama ada anda seorang perempuan ataupun lelaki, yang paling penting adalah kebolehan untuk memperbaiki ‘personal dynamics’ diri anda. Masalah, konflik dan dilema yang melanda sesebuah perhubungan selalunya disebabkan oleh personaliti salah seorang atau kedua-dua teman kekasih. Jadi untuk perhubungan yang sihat dan membawa kepada kebahagiaan yang hakiki, ingatlah 9 Petua berikut:

Siapa yang tidak pernah salah dalam berkasih-cinta?

SATU: Kawal emosi anda selalu

Dalam mana-mana perhubungan, kestabilan emosi memainkan peranan penting untuk menentukan corak dan warna perhubungan. Tetapi bukan mudah untuk mengawal emosi, seperti perasaan cemburu misalnya. Yang lazim terjadi ialah kita akan cemburu dan marah dahulu dan meminta penjelasan kemudian, ketika segalanya sudah rosak binasa akibat tuduhan dan kata-kata nista yang mungkin dilontarkan.

DUA: Bezakan antara fakta dan pendapat

Ini amat penting agar sepasang teman-kekasih tidak terlalu sensitif dan cepat pula marah atau merajuk. Sebagai contoh, anda memberi komen bahawa gaun baru teman-kekasih anda agak seksi dan kurang sesuai untuk majlis kenduri kesyukuran yang perlu dihadiri. Teman-kekasih anda mungkin memberontak dalam keadaan ini dan memarahi anda. Inilah yang berlaku jika kita tidak dapat membezakan di antara fakta dan pendapat.

TIGA: Cari bukti sebelum bertindak

Jika anda perasan yang teman-kekasih semakin berkelakuan mencurigakan, jangan pula cepat menuduhnya. Jika dia sedang bermain kayu tiga contohnya, cari bukti yang secukupnya sebelum anda menyerang teman-kekasih anda. Lazimnya kita selalu berfikir yang negatif, dan siapa tahu kalau-kalau teman-kekasih yang disangka curang sedang sibuk merancang majlis harijadi mengejut untuk anda. Siapa yang bakal malu besar dan rasa bersalah di saat itu?

EMPAT: Sentiasalah bercakap benar

Menurut kata pepatah Yunani, manusia harus sentiasa bercakap benar kerana ianya lebih mudah untuk kita ingati dari yang palsu. Untuk orang yang selalu menipu pula, pastinya tembelang individu itu akan pecah kerana tidak mudah untuk kita mengingati fakta-fakta rekaan semata-mata. Kalau anda tidak percaya, cubalah untuk menipu sebanyak yang mungkin dan tipulah seramai mana orang yang anda termampu. Lihat sahaja hasilnya nanti!

LIMA: Kebenaran adalah sesuatu yang relatif

Apa tindakan anda jika menerima panggilan telefon dari teman-kekasih lama menyatakan dia ingin anda kembali padanya? Tentu anda tidak akan melayan permintaan itu, bukan? Tetapi jangan pula terlalu lurus bendul dengan menceritakan kisah ini kepada teman-kekasih anda sekarang. Bukannya apa, walaupun anda bercakap benar tetapi kekadang kebenaran itu akan menyakitkannya. Asalkan anda jujur, rahsiakan darinya perkara yang dia tidak perlu tahu.

ENAM: Hati-hati bila berkata-kata

Pepatah Melayu ada mengatakan, “Terlajak kata, buruk padahnya”. Jadi berhati-hatilah bila anda berkata-kata, seperti kata orang tua-tua “kerana mulut, badan binasa”. Dalam sesebuah perhubungan kasih-cinta segala yang diungkapkan boleh membawa kesan yang positif atau menjadi permulaan suatu pengakhiran. Jadi pilihlah perkataan yang akan anda gunakan secara berhati-hati, nescaya kestabilan perhubungan (dan kestabilan mental anda) akan terpelihara.

TUJUH: Jangan takut untuk mengubah fikiran

Anda sudah berjanji dengan teman-kekasih untuk makan malam selepas kerja nanti. Namun tiba-tiba anda dipanggil ke mesyuarat tergempar dan anda terpaksa menjadi Pengerusi. Apa yang anda harus lakukan? Janganlah takut untuk menghubungi teman-kekasih meminta agar temujanji anda ditunda ke masa lain. Jika teman-kekasih anda benar-benar memahami, dia tidak akan mengeluh, merajuk atau bersangka buruk dengan anda.

LAPAN: Bukan semua yang diungkap suatu kritikan

Mahu tidak mahu, anda sebagai seorang teman-kekasih perlulah berfikiran terbuka apabila menerima pandangan dan apabila teman-kekasih meluahkan pendapatnya (selalunya tanpa diminta). Reaksi yang termudah dalam keadaan ini adalah untuk mendiamkan diri sahaja, tanpa membalas kembali dengan lebih kritis dan tajam. Kalau anda tidak mempunyai apa-apa perkara baik untuk dikatakan? Tolong diam!

SEMBILAN: Ketahuilah bahawa tiada manusia yang sempurna

Dalam sesi Kaunseling Perhubungan dan Keluarga, yang selalu terjadi ialah kedua-dua pihak akan bercakaran sambil menunding jari. Sebagai seorang teman-kekasih yang baik, anda haruslah cuba melihat semua perkara baik yang ada dalam teman-kekasih anda tidak kira apa jua masa dan keadaan. Jangan yang baik itu dilupakan hanya kerana yang buruk itu jelas kelihatan, kerana yang pasti tiada seorang manusia pun yang sempurna.

Jika anda dapat mempraktikkan 9 Petua ini dalam hidup anda sebelum menjalin hubungan dan semasa berkasih-cinta, saya pasti kebahagiaan dan ketenangan jiwa akan menjadi milik anda seperti yang diluahkan Camelia dan Anuar Zain dalam lagu “Kini Bebas”. Jika tidak, perhubungan anda dan dia yang sepatutnya membawa kesan yang positif akan menjadi bak sumpahan yang menyakitkan dan menyeksakan.

Sediakanlah diri anda sebaik-baiknya jika ingin berkasih-cinta, mulakan dengan menyayangi diri anda sendiri dahulu dan membuang segala tabiat negatif yang anda benci. Barulah nanti anda dan dia akan bersedia untuk kasih-cinta hingga ke akhirnya!