Si Perang Peroksida
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Kata Lelaki’, 2003

Amaran oleh penulis: Baris-baris ayat yang berikut tiada kena-mengena dengan sesiapa pun sama ada yang masih hidup, telah atau akan mati tidak lama lagi. Ianya hanyalah coretan dari perspektif rabun seorang lelaki bernama Airil Haimi Adnan yang penuh dengan kekurangan… Anda Telah Diberi Amaran!

Kepada anda yang masih tidak dapat memahami tajuk di atas, terjemahan literal tajuk ini dalam Bahasa Inggeris adalah ‘The Peroxide Blonde’. Ia adalah tajuk perbincangan yang selalunya akan menimbulkan banyak masalah jikalau saya utarakan ketika majlis keramaian, sesi gosip separa-formal, mahupun ketika bersembang santai dengan teman-kekasih.

Juga amat bahaya jika tajuk ini dibincangkan di tempat-tempat awam yang dipenuhi dengan gadis-gadis ayu, yang rasa anggun dengan keperangan warna rambut mereka. Ataupun merah, biru, merah jambu, mahupun warna kuning air di terusan. Yang penting mereka tampak seperti bergaya, dan mereka rasa amat bergaya!

Gadis Asia berambut perang, suatu tanda kemajuan?

Di serata ceruk rantau, kelihatan sudah berlaku sesuatu yang drastik dalam proses evolusi manusia. Lebih-lebih lagi di wilayah Timur dan di Asia Tenggara, tidak kira apa bangsa atau warna kulit, semakin ramai di antara kita yang warna rambutnya berevolusi seiras dengan saudara-mara jauh kita di Barat yang tinggi-lampai, berhidung mancung, dan matanya berwarna-warni. Siapa kata orang Asia tidak maju?

Anda tidak perlu menjadi seorang Saintis Evolusi atau Pakar Genomik untuk memahami yang proses ini amat mustahil terjadi, lebih-lebih lagi dengan diri kita yang kebanyakannya memiliki gen kulit sawo matang, dengan hidung yang agak mendatar dan saiz badan yang comel molek. Namun, kenapa agaknya memiliki warna rambut iras Barat dengan kanta sesentuh berwarna pelangi menjadi kegilaan semakin ramai di antara kita di negara yang Merdeka ini?

Ketika inilah saya pula akan diserang hendap mungkin juga dicekik dan dibaling batu, lebih-lebih lagi kalau pendapat ini diberikan kepada kaum yang bukan Adam. Kata saya mudah, dari kita sibuk menghabiskan wang beratus-ringgit untuk ke salon mewarna rambut supaya kelihatan cantik dan menarik seperti orang Barat, apa kata kalau kita cuba untuk mencantikkan diri kita dari dalam?

Harapnya anda tidak akan salah faham dengan kefahaman saya. Bukanlah sebenarnya rambut yang berwarna-warni itu tidak cantik, kadang-kadang kalau disesuaikan dengan wajah, lebih-lebih lagi jika di dalam gelap pada waktu malam – Rambut yang telah di‘highlight’ iras keperangan, mampu kelihatan anggun lebih-lebih lagi jika diperagakan dengan aksesori fesyen terbaru dari Barat yang canggih-manggih.

Sayangnya selepas beberapa ketika, warna rambut yang mahal itu akan luntur dan tinggallah si dia dengan warna rambutnya yang asal. Mungkin satu hari nanti di masa depan, kita mampu memilih warna rambut, mata mungkin juga warna kulit dengan satu tekanan butang dan bayaran yang ala kadar. Mungkin juga di masa itu nanti, segala pertukaran itu akan kekal menjadi sebahagian dari diri kita.

Tapi, adakah semua itu berbaloi? Entahlah, saya sendiri hilang punca. Kalau ada beberapa perkara yang boleh saya ubah – Saya mahukan rambut yang tidak kerinting ketika panjang, saya juga mahu warna kulit yang lebih cerah dari sekarang dan ditambah dengan warna rambut dan mata yang ada ‘highlight’ biru muda. Dan yang paling penting saya mahukan pembedahan yang boleh memanjangkan susuk badan saya yang kurang tinggi ini. Paling minimum saya mahu setinggi 175cm. Nah, barulah anggun!

Tiba-tiba teringat saya filem yang diarahkan oleh adik-beradik Farelli, yang juga Pengarah ‘Dumb and Dumber’ dan ‘There’s Something About Mary’. Tajuknya, ‘Shallow Hal’. Cuba cari VCD atau DVD (kalau boleh yang bukan ciplak) filem ini, tonton dan hayati! Protagonis utama filem itu, si Hal, akhirnya menyedari yang kecantikan, keanggunan, serta rupa paras yang sejati datangnya bukan dari luar tapi dari dalam diri kita.

Eh? Apa gunanya? Kalau setakat di dalam, bukannya orang nampak pun! Paling kurang baju dalam dan seluar dalam berjenama masih boleh ditayang kepada orang lain. Ini kalau setakat elok dan hebat tapi orang tidak tahu, apalah gunanya? Sebenarnya inilah kesilapan kita yang teramat besar, namun teramat selalu pula dilakukan. Kita sentiasa melihat kulit, tapi kita hindarkan menilai isinya. Hairan bukan? Kalau kita makan durian, yang kita cari isi yang cantik dan menarik. Ada sesiapa di luar sana yang mencari kulit durian untuk dimakan dan dihargai? Kalau ada, ternyata salahlah teori saya ini.

Apapun saya rasa, dan saya pasti, suara kecil hati anda akan bersetuju. Lelaki atau perempuan yang elok rupa parasnya dan serba-serbinya mengikut trend semasa seperti warna rambut yang bermacam rupa – Tidak semestinya orang itu seorang yang elok pekertinya dan tutur katanya. Tapi sebaliknya walaupun seorang perempuan atau lelaki kelihatan amat sederhana dan biasa, dengan keadaan paras rupa yang tulen sejak turun-temurun dan tidak di highlight dengan warna dan corak tiruan – Mungkin di dalamnya, individu itu penuh dengan kebaikan, keyakinan dan rasa percaya kepada diri sendiri. Mungkin.

Yang pastinya saya masih kurang faham. Yang saya tahu, antara kulit dan isi, tentunya isi di dalam yang lebih bererti dan kekal abadi. Dengarkan lagu India Arie, ‘Video’. Anda akan lebih faham, dan harapnya lebih mengerti…

“When I look in the mirror and the only one there is me
Every freckle on my face is where it’s supposed to be
And I know our Creator didn’t make no mistakes on me
My feet, my thighs, my lips, my eyes; I’m lovin’ what I see”

“I’m not the average girl from your video
and I ain’t built like a supermodel
But, I learned to love myself unconditionally
because I am a queen
I’m not the average girl from your video
My worth is not determined by the price of my clothes
No matter what I’m wearing I will always be
the India Arie”