Anggun, Kekal, Baik Budi
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’

Segmen khas yang dikomisyen untuk ‘Malam 20 Yang Anggun’, 2003

Nouveau Riche. Golongan elit. Cara semasa. Tampak bergaya. Amat ranggi. Sentiasa dikelilingi golongan yang serupa. Sering dijemput ke majlis dan upacara berprofil tinggi. Bersentuh bahu dengan mereka yang amat berpengaruh di dalam masyarakat. Beautiful People sudah semestinya!

Siapa mereka ini? Saya kurang pasti, saya tidak termasuk satu pun kategori di atas. Dan besar kemungkinan anda juga seperti saya yang bukanlah di antara mereka yang bakal dinobatkan sebagai Beautiful People. Kita semua orang biasa. Ramai di antara kita masih lagi tergolong sebagai orang biasa…

Namun setiap kali kita melihat dalam akhbar, majalah, terdengar melalui corong radio dan terpampang di kaca televisyen atau di atas papan iklan yang sebesar 2 gelanggang badminton – Mereka yang anggun ini akan kelihatan dan kedengaran. Ditambah pula dengan hidup yang serba glamor dan yang miliki segala-galanya, mungkin ada beberapa detik kita terbayang, “Kalaulah aku ini dia…” Sayangnya, anda dan saya masih kekal kita. Yang biasa, yang sederhana.

Kalaulah aku ini dia... Kalaulah aku miliknya!

Mungkin anda merasakan ini hanyalah keluhan hati saya kerana iri hati, cemburu kesumat kerana saya bukan seorang selebriti atau hartawan, atau kedua-duanya. Mungkin anda betul, kerana ada hari-harinya saya akan terfikir bukankah hebatnya kalau diri ini sentiasa menjadi ikutan dan dilihat oleh masyarakat. Atau paling kurang pun, dengan harta yang banyak beserta kerjaya yang berprofil tinggi dan dijemput ke majlis-majlis rasmi yang dihadiri mereka yang anggun lagi glamor.

“Jangan macam tu, kita kena bersyukur Ami,” kata Intan kawan sekuliah saya. Tam Suhaimi sang aktor baik hati pula selalu berkata, “Itu semua tak kekal Cik Airil, I dah campur dengan orang macam tu dulu, banyak yang tipu saja.” Dan saya diam. Daripada mendengar suara hati yang menyakitkan hati, lebih baik mengelamun dan berangan-angan menjadi hiasan kulit muka majalah, atau menjadi hos rancangan talk show sendiri. ‘Malam Ini Bersama… Saya” di Astro Ria… ah, seronoknya!

Pada saat itu, tentunya ramai yang akan memandang bila melihat saya di kompleks membeli-belah, ketika saya sedang makan di restoran makanan segera, atau semasa saya membeli tiket untuk menonton wayang. Ketika itu juga ramai makwe yang melihat saya sambil tersenyum simpul, tidak lagi mengendahkan saya seperti kini. Atau lebih teruk lagi, menjuihkan muka walaupun saya sendiri bersumpah, tidak langsung menyimpan niat apa-apa untuk menggoda orang yang melihat saya itu!

Kemudian jikalau anda ingin bertemu saya, anda harus ada temujanji maklumlah masa saya amat terhad. Dan saya terlalu banyak perkara lain yang harus dihadiri dengan orang lain yang sama berpengaruh dan anggun seperti saya. Dan walaupun saya mempunyai Pak Supir, saya lebih suka membawa sendiri BMW 7-Series saya. Boleh ‘dibesit’ kereta saya sepantas pelesit! Kalau disaman? Bayar saja, bukankah saya banyak duit!

Bila difikir kembali angan-angan ini, saya senyum sendiri sambil menggeleng kepala. Bagaimana dengan anda? Anda kata anda tak pernah angan-angan begini? Yalah tu! Macamlah saya baru lahir semalam. Seronok angan-angan sebegini, kalau tidak percaya cuba tanya Pakcik Mat Jenin! Tapi semuanya hanyalah angan-angan yang bukan realiti. Realiti yang kekal, sebenarnya diukur dengan baik budi.

Gila, bukan? Di antara BWM 7-Series dan baik budi, yang kekal nanti adalah hati budi yang tidak akan boleh disewa-beli. Eh, jangan salah faham maksud saya! Bukanlah maksudnya semua mereka yang cantik, anggun dan glamor itu buruk sifat dan budi pekertinya, dan tidaklah semua mereka yang biasa dan sederhana itu merendah diri, ikhlas dan penuh dengan rasa empati!

Kayu pengukurnya adalah personaliti individu itu sendiri. Dan kita semua harus menilai apa yang cantik dan apa yang plastik, apa yang elok serta apa yang buruk. Mungkin di penghujung hari tidak siapapun sedar yang keanggunan anda kekal serta diulit dan dilindung oleh hati yang baik budi. Mungkin anda sendiri tidak suka melihat rupa paras anda kerana dirasakan terlalu pendek (seperti saya), terlalu gemuk, kulit tak cerah, wajah anda berparut atau dengan tanda kelahiran, atau seribu macam lagi sebab yang tidak akan memungkinkan anda (serta saya) menjadi supermodel, artis, pengacara televisyen, veejay, deejay, atau yang sewaktu dengannya.

Tapi percayalah. Dan percaya dengan sepenuh hati dan perasaan. Jika anda anggun atau cantik – bersyukurlah. Jika anda biasa dan sederhana – bersyukurlah.  Walau apapun paras fizikal anda – yang kekal abadi adalah nama baik anda, keturunan anda yang dihormati, serta kebaikan yang pernah anda lakukan untuk orang lain walaupun tiada siapa yang mengetahui.

Senyumlah dan percayalah, kerana tiada siapa pun di dunia yang maha luas ini seperti anda. Anda satu. Dan hanya ada satu anda! Namun jika anda masih ada keinginan untuk dilihat di mata individu lain dalam masyarakat – hentikan hanya berangan-angan. Sudah tiba masanya anda melakukan sesuatu yang konkrit. Siapa tahu rezeki anda nanti? Bolehlah kami semua yang membaca majalah ini menumpang glamor anda pula nanti!

Saya pula akan terus berangan-angan di antara waktu membawa kereta ke kampus, dan di penghujung malam begini. Dan di kala mencari rezeki, seperti biasa saya kekadang akan bayangkan, “Kalaulah aku ini serupa macam dia…” Entahlah. Saya kurang pasti.

Yang saya tahu, kalau baik hati… nanti orang akan sayang. Yang saya ingat, kalau ikhlas budi dan elok pekerti, akan sentiasa dirahmati Tuhan. Yang saya percaya, kalau selalu berusaha dengan niat yang benar dan suci, tiada apa yang boleh menjatuhkan kita hanyalah takdir Ilahi. Walaupun anda hanya seperti saya… yang terlalu biasa dan yang amat sederhana!