Si Kecil, Manja, Comel
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Kata Lelaki’, 2005

Sepanjang perjalanan pulang dari kampus Sabtu itu, saya terus berfikir tentang apa yang saya tegaskan sewaktu kuliah Psikologi. Ianya bermula dari soalan sambil lewa oleh seorang siswi dewasa saya, “Jadi, kenapa pakar-pakar Psikologi tak berminat menyelidik hidup orang dewasa?” Dengan serta-merta jawapan terkeluar dari kotak suara saya, “Kerana, tiada apa yang menarik tentang orang dewasa, lebih seronok mengkaji bayi dan kanak-kanak!”

Sememangnya pernyataan itu benar. Dari sudut psikologi perkembangan, orang dewasa mempunyai personaliti yang konkrit, kepercayaan yang sukar diubah, payah pula untuk didekati. Lain kisahnya kalau kita menyelidik hidup seorang anak kecil. Personaliti si kecil lebih fleksibel dan masih belum konkrit. Kepercayaan si kecil datang dari pandangan dunia yang jujur lagi suci. Dan si kecil mudah didekati, jika anda seorang yang baik hati.

Dan sememangnya, kita lebih teruja melihat semangat yang ditunjuk oleh si kecil (jikalau dibandingkan dengan si besar atau si tua). Hidup teramat mudah untuk dirinya, dan pandangan dunia yang naif membantu si kecil menjadi pelawak yang membuatkan kita tidak kering gusi, di samping menjadikan penjaganya pening kepala setiap masa kerana terpaksa memerhatikan segala gerak-geri si kecil yang nakal.

Tiada apa yang menarik tentang orang dewasa!

Tetapi tahukah anda, diri anda tika dan saat ini, adalah diri anda yang telah terbentuk dari saat kelahiran sehingga ke tahun keenam kehidupan? Jangkawaktu kritikal itulah yang menentukan siapa anda sebenarnya. Masihkah anda ingat lagi detik waktu itu? Masihkah wujud pandangan dunia yang positif, jujur lagi suci? Adakah anda masih mudah didekati? Tentu anda fikir saya gila, kerana definisi ‘dewasa’ adalah berubah menjadi matang dalam fikiran dan tindakan serta tidak keanak-anakan. Betul atau salah?

Salah, salah, dan salah! Ramai yang tidak sedar, dalam usaha kita menjadi seorang dewasa yang matang dan masak dengan segala permasalahan dunia dan ranjau kehidupan – Hari demi hari, si kecil yang suatu ketika dahulu bebas berlari dan menjadi dirinya sendiri, kini semakin hilang dari memori. Kita menjadi dewasa namun kehilangan segalanya yang menjadikan diri kita unik. Kita gembira jikalau dapat menjadi seperti orang lain. Kita mahukan kehidupan mereka yang lebih bahagia, lebih mewah, dan pasti lebih sempurna.

Salah, salah, dan salah! Keunikan si kecil yang suatu ketika dahulu bebas berlari serta kuat berimaginasi, janganlah diubah agar menjadi seperti orang lain. Kehidupan orang lain yang kita rasakan sempurna, tidak akan serupa dengan keunikan hidup kita. Inilah kerugian yang paling besar semakin anda dan saya meningkat dewasa, kita cepat terlupa si kecil yang masih lagi wujud dalam diri kita.

Akibatnya? Tekanan jiwa, ulser perut, darah tinggi, dan mungkin nanti sakit jantung kronik akan hinggap. Rasa jemu dengan hidup, cepat marah, tidak berpuas hati dengan kebaikan yang ada, memilih untuk berfikir terlalu banyak dari berfikiran positif dan rasional – Semua ini sinonim dengan kehidupan seorang dewasa. Jika begitu, lebih baik kalau kita kekal menjadi bayi atau anak kecil selamanya!

Abaikan modal air liur yang keluar dari mulut manusia yang kononnya pakar-pakar motivasi (kerana hidup mereka sendiri jauh dari sempurna dan mereka banyak bercakap tetapi tidak serupa bikin). Lupakan segala rasa malu yang tidak bertempat serta rendah diri (kerana ada banyak kebaikan dan kelebihan dalam diri anda). Dan, tinggalkan tabiat serta kepercayaan yang sia-sia (kerana banyak kebaikan yang boleh anda usahakan dengan umur yang panjang sebelum kita kembali ke sisiNya).

Yang sebenar-benarnya, kita akan selalu bersendiri kerana diri kita tersendiri. Jadi jangan sedih dan sayu, jikalau kasih-cinta kita tidak menjelang tiba. Jangan haru dan biru, jika kehidupan kita amat sederhana. Jangan marah dan sedih, jika kita tidak diterima oleh orang dewasa lain yang tidak mengerti. Dan, janganlah berputus-asa dan meminta mati, pabila segala usaha kita tidak dihargai. Jangan pernah lupa, si kecil, manja dan comel itulah teman yang paling setia, diri anda yang sebenarnya.

Sepanjang perjalanan pulang dari kampus Sabtu itu, saya terfikir… Saya bukanlah seorang yang sempurna kerana saya terlalu banyak membuat kesilapan. Tidak mungkin dapat saya usahakan agar semua orang yang saya kenal menyukai saya. Tidak akan dapat saya tutup semua mulut manusia yang terus mengkritik dan menghina diri dan usaha saya. Dan rasanya diri kita semuanya serupa, bukan?

Tepat di saat itu, si kecil yang masih ada dalam diri saya bangkit kembali, terus tersenyum dan berlari bebas. Dia kini pandai berbahasa Inggeris seraya berpesan, “To thine own self, be true Airil!” Terima kasih si kecil, saya faham kini. Eh, apa pula pesanan si kecil dalam diri anda? Dengarkan segala kata-katanya, jangan dibiarkan dia pergi dan hilang kerana anda kini semakin dewasa.

Tanpa si kecil, manja dan comel itu, segala rasa pastikan mati. Tinggallah anda, sendiri dan sunyi.