Kasmaran (asmara) Evangeline
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Asmara’, 2005

Teech Airil sezArtikel ini asalnya ditulis sebagai sebuah artikel untuk ruangan di atas, tetapi setelah proses suntingan dan idea menarik dari Kak Asiah Mion, Editor ‘Eh!’ ketika itu, itu telah dipersembahkan sebagai perca cerpen. Oh ya, kisah ini adalah dari pengalaman sebenar seorang teman rapat yang dikongsi dengan saya, pada suatu hari, pada ketika itu…

Saya terlihat kecantikan wujud bersama kebijaksanaan

Kali pertama bertemu Evangeline, saya kagum dan tertarik dengannya. Bukan kerana ketinggiannya hampir 6 kaki. Bukan kerana kecantikan akibat darah campuran multi-nasionalnya. Tetapi, kerana kerendahan hati budi yang jarang kita jumpa dalam seseorang yang bergelar model dan selebriti. 4 tahun lalu ketika menjadi Pengacara (paksa-rela) dalam pertunjukan fesyen amal, saya menyapa Angel (nama panggilannya) yang sedang menyorok di belakang runway dengan novel neo-feminis ‘Jane Eyre’ karya novelis British, Charlotte Bronte.

Seingat saya Angel khusyuk membaca, dia langsung tidak mengendahkan sesiapa yang lalu-lalang di hadapan atau di belakangnya. Rasa saya kalau tiba-tiba dewan itu dibom oleh pengganas barulah Angel akan terkejut, kerana matanya dan mindanya seakan digam ke helaian novel yang sedang dipegang. Di hadapan saya, terlihat kecantikan wujud bersama kebijaksanaan – Sesuatu yang amat jarang kelihatan.

Mungkin kerana suatu zaman dulu saya pernah dipaksa membaca novel yang sama, kami terus mesra sambil membincangkan segala-galanya dari feminisme ke novel yang terbaru sehinggalah cita-cita masing-masing untuk menjadi novelis yang tidak lebih dari angan-angan. Namun, seperti lumrah kehidupan, persahabatan yang dijalinkan renggang kerana kekangan masa, jarak, dan karier.

Sehinggalah empat minggu lepas di ruang legar KLCC pada suatu petang hujung minggu. Ketinggian Angel membantu saya yang kecil ini melihatnya dari jauh. “Hei cantik! Sendiri saja? Boleh aku kenal? Bahaya kalau wanita cantik seperti kamu berjalan sendiri!” sapa saya memulakan bicara. “Oh maaf, kamu terlalu rendah untuk aku. But I’m feeling charitable today”, jawab Angel dengan ketawa besar yang menghairankan orang ramai di sekeliling kami. Tapi itulah personaliti Angel, yang periang dan tidak pernah ‘kontrol ayu’.

Memang agak terkejut bertemu kembali dengannya, kerana berita terakhir yang saya dengar Angel sudah berkahwin dan tinggal dengan suaminya di negara luar. Dan, Angel khabarnya sudah punya si kecil yang amat comel. Etika sosial tidak membenarkan kita bertanya perkara yang terlalu peribadi di permulaan bicara. Sayangnya mulut saya tidak boleh diam dan terus bertanya, mungkin kerana teruja dengan pertemuan petang itu. “Where’s baby Angel? Hilang sebab mamanya sibuk shopping, benar?”

Saya memang bodoh. Soalan itu sensitif dan tidak perlu ditanya. “Panjang senandungnya, Haimi. Kita jumpa di atas nanti? Aku mau beli sesuatu. Aku memang mau konsul sama kamu. I need a good listener. Seorang yang aku percaya, seorang teman”, jawab Angel dengan wajah yang sedikit berubah walaupun terlindung oleh senyuman sejuta ringgit yang selalu terukir di bibirnya. Seketika kemudian, kami bertemu di café yang agak jauh dari kebingitan hujung minggu KLCC.

Selepas soalan-soalan dan jawapan-jawapan formaliti ditanya dan dijawab, tentang umur, tentang kesihatan, tentang karier dan segala yang sewaktu dengannya, kini masanya untuk eksplorasi minda dan perasaan. “Jadi, apa kisah asmara kamu? Seperti Cinderella? Atau Snow White? Mungkin juga Jane Eyre?” tanya saya secara berseloroh agar suasana yang semakin tegang menjadi mesra dan santai.

“Semuanya bagus. Aku baik saja, baby lucu dan manja seperti mamanya mungkin,” Angel tersenyum sambil menunjukkan foto bayi dalam lingkungan umur setahun. Saya akui memang bayi itu kelihatan fotogenik dan ceria, baby girl yang telah mewarisi segala yang terbaik dari mamanya. “Tapi, ada tapinya bukan? Ada sesuatu yang belum terurai? Kamu sedih? Kamu marah? Sunyi mungkin?” tanya saya memecah kesunyian yang semakin membuat saya kurang senang.

Mata Angel sedikit berkaca, tapi saya terus mengukir senyuman di hadapan teman saya itu. “I don’t really know, aku tak mampu berfikir. Aku rasa sunyi dan aku rasa benci, aku rasa semuanya terlalu gila”. “Tentang suamimu, bukan?” saya meneka dalam pasti. Angel mendiamkan diri dan menghela nafas panjang. Memang benarlah tekaan saya, dalam hal-hal keluarga dan kekeluargaan hubungan isteri serta suami bukanlah suatu yang mudah dijalinkan apatah lagi untuk dikekalkan dalam kehangatan.

“Dia sudah pergi. Hilang begitu… Aku sedih, tapi aku berasa lega, tapi masih sedih untuk diriku dan untuk baby. Aku tak pasti, Haimi”, titisan airmata makin terserlah di mata Angel. “Kali pertama, semuanya indah. Dia lelaki baik, pintar menjaga hatiku dan familiku. Kamu tau, dia usaha ketemu orangtuaku tanpa pengetahuanku? Dia mohon menjadi kekasihku. Romantis, bukan?”, kata Angel dengan sedikit senyuman bercampur keperitan.

“Apa yang berlaku? Dia berselingkuh? Berhubungan sulit dengan wanita lain? Atau, dia sudah tidak pedulikan kamu dan baby Angel?” tanya saya. “Tidak!” Angel cepat memintas soalan saya, “Bukan begitu, dia lelaki yang baik. Di bulan keenam perkenalan kami, dia melamarku dengan cara yang paling romantis. Aku terus menerima tanpa berfikir. Dia lelaki hebat di mataku, tuturnya, adabnya, sopannya, mungkin aku buta. Tiada lelaki di dunia ini yang sebegitu sempurna bukan?”

Saya semakin hairan, tetapi saya sorok perasaan itu. Sebagai teman Angel, dan sebagai perunding kaunseling, saya harus membiarkan perbualan kami berjalan terus tanpa ada sebarang gangguan dari pihak saya. Tetapi, manusia mana yang tidak akan tertanya-tanya, jika segalanya baik dan hampir sempurna, kenapakah Angel dilamun kesedihan? Gadis cantik yang pintar dan berbudi-bahasa ini, seperti kehilangan dalam dirinya sendiri.

“Ah, ini semua terlalu aneh. Semuanya gila, Haimi!” hujah Angel tiba-tiba mengejutkan saya dari lamunan di siang hari. “Kenapa kata kamu begitu? Maafkan aku, kalau aku tak mampu memahami keadaan kamu, Angel. Jika semuanya indah, kenapa kini semuanya sedih dan kelam? Apa kamu sedang sakit? Suamimu sudah mati mungkin?” terkeluar soalan yang tidak sepatutnya dari mulut saya.

“Mungkin aku yang harus mati, tapi aku tak bisa. Aku tak mau pergi dan tinggalkan baby. Apa yang harus aku ceritakan kepada dunia nanti?” Angel menarik nafas. “Selepas kami berkahwin, kami tinggal bersama di sini. Dia selalu terbang ke luar, aku di sini dengan karier. Aku tak pernah merasa kelainan dalam sikapnya. Malah semuanya baik saja, nah mungkin itu caranya untuk membutakanku”. “Tapi, setiap mata yang berkasih-cinta itu memang lazimnya buta, Angel. Itu memang lumrah dalam hidup setiap manusia”, saya cuba menenangkan teman saya.

“Bukan begitu, Haimi. Kamu tau, aku mampu menerima jika apa yang berlaku dalam hidupku ini biasa. Tetapi ianya aneh, dan terlalu bodoh… Kesedaranku hanya terbit bila kami di dalam kamar”. Di saat itu saya memberitahu Angel yang dia tidak perlu untuk meneruskan kisahnya jika dia tidak selesa. “Biar aku habiskan, aku mau kamu memberi jawapan soalanku nanti. Kamu tau, kami hanya pernah berasmara dua kali?”

Angel meneruskan kisahnya, “Kami bersama di malam pertama. Kemudian sekali lagi selepas itu, terus kami dingin. Baby suatu keajaiban, dia hasil hanya dari dua kali asmara papa dan mamanya.” Mulut saya sedikit terbuka, dan dalam hati saya menyumpah suami Angel. Bodoh sungguh lelaki itu. Hanya lelaki buta yang tidak akan terangsang dengan Angel. Mungkin lelaki buta juga boleh celik kalau terlihat wanita cantik di hadapan saya ini… Angel is a goddess!

“Mungkin kerana segalanya terlalu indah, terlalu sempurna, dan kerana semuanya terlalu romantis. Aku tak pernah bertanya. Mungkin kerana dia sibuk, dan setiap kali pulang dia akan tidur kepenatan dalam pelukanku. Haimi, suamiku pergi kerana lelaki lain. Dia tewas dengan rayuan kekasih lamanya. Kerana lelaki lain dia pergi! Aku berdoa agar dia jangan kembali, kerana aku bersumpah akukan bunuh temannya dan dia!” kata-kata Angel memaku saya di kerusi.

“Apa konsulmu? Apa yang harus aku lakukan? Bagaimana harus aku terangkan kepada orang tuaku? Kepada teman-teman? Say something!” Buat pertama kalinya, saya tidak mampu berkata apa-apa tentang kisah asmara Evangeline. Fikiran saya hanya melayang dari satu titik ke titik. Jane Eyre bertemu kebahagiaan apabila kekasihnya ditimpa bencana dan menjadi lelaki kurang upaya. Evangeline bertemu lelaki yang kurang upaya bila bersama wanita, berbanding lelaki. Saya terdiam.

Dan, saya hanya mampu diam.