Alergi Sepi
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Cinta’, 2005

Dilema, konflik dan masalah yang sering diutarakan kepada saya hampir setengahnya mempunyai kaitan dengan tuan empunya diri sendiri. Maksudnya di sini, perempuan atau lelaki itulah sendiri yang menjadi penyebab kepada segala dilema, konflik dan masalah yang dihadapinya. Dan di antara penyebab utama kesulitan dalam kasih-cinta, adalah satu sindrom psiko-emosi yang saya namakan ‘Alergi Sepi’.

Alergi Sepi adalah suatu sindrom psiko-emosi yang boleh mengakibatkan kita menjadi terlalu lemah dan sunyi-sepi jikalau terpaksa hidup sendirian, walaupun untuk satu jangka waktu yang tidak terlalu lama. Jikalau anda menjadi mangsa Alergi Sepi, anda mempunyai ‘alahan’ yang teruk kepada keadaan atau situasi di mana anda terpaksa bersendirian tanpa seorang teman-kekasih. Maka, kerana desakan psiko-emosi yang terlalu kuat anda akan terus mencari pasangan – Tidak kira siapa sahaja yang berada dekat dengan anda terlihat sebagai seorang yang sesuai untuk menjadi teman-kekasih. Bahaya, bukan?

Hidup sunyi bila diri bersendirian

Ini sebenarnya sesuatu yang salah dan akan mendatangkan mudarat kepada anda dan teman-kekasih. Hubungan kasih-cinta sememangnya dapat menghilangkan kesepian di hati anda, tetapi ianya bukanlah alasan yang baik kenapa anda perlu mencari seorang teman-kekasih. Sekali lagi diingatkan, kepercayaan sebegini hanya akan membawa kesulitan dan kepayahan di masa hadapan. Jadi, apakah langkah-langkah yang harus diambil agar anda tidak menjadi mangsa Alergi Sepi?

Belajarlah untuk bersendiri dahulu

Mungkin ini suatu konsep yang aneh lagi pelik kepada anda yang sedang mencari kebahagiaan dalam hidup, tetapi sebelum anda bercinta anda seharusnya sudah belajar untuk hidup dengan diri sendiri dan untuk menerima diri anda seadanya. Anda harus melatih diri untuk hidup bersendirian bukan kerana tidak ada sesiapa yang mahukan diri anda, tetapi situasi ini akan membawa banyak kebaikan kepada diri asalkan tidak terlalu lama menyendiri hingga tekanan perasaan dan tekanan jiwa menusuk kalbu.

Apabila anda hidup bersendirian, tidak pula bererti yang anda harus meninggalkan semua insan di sekeliling anda dan tinggal bertapa di dalam gua sambil memakan segenggam beras setiap hari. Ertinya di sini, anda harus untuk seketika hidup sendirian tanpa teman-kekasih terutamanya jika anda baru gagal dalam kasih-cinta. Dalam masa inilah anda harus kembali ke fitrah diri, untuk mengingat kembali siapa diri anda yang sebenarnya dan untuk menghargai segala kebaikan dan keistimewaan yang ada dalam diri anda.

Jika anda mempunyai masa dan ruang, pada ketika inilah anda harus bersama rakan dan teman rapat atau ahli keluarga untuk menghabiskan masa bersama, contohnya dengan pergi bercuti atau sekadar minum kopi sambil berbual kosong. Sayang seorang rakan, teman serta ahli keluarga dekat tidaklah serupa seperti kasih-cinta, tetapi ianya berpotensi membantu anda menjadi lebih tenang dan melupakan tekanan kasih-cinta.

Sayangilah diri anda sepenuhnya

Dalam kasih-cinta, anda sebenarnya belum lagi ‘layak’ untuk mempunyai seorang teman-kekasih jika anda belum menyayangi diri sepenuhnya. Sayang kepada diri sendiri dapat membantu mewujudkan daya keyakinan dan menonjolkan keterampilan yang menarik. Seterusnya, anda akan mendapati bahawa anda tidak lagi memerlukan seseorang hanya kerana diri anda ‘tidak mencukupi’.

Teman-kekasih yang datang nanti akan hadir sebagai suatu penambah-baikan dalam hidup anda. Ini akan membantu mewujudkan kestabilan dan keadilan dalam hubungan kerana teman-kekasih itu tidak mengeksploitasi diri anda atau sebaliknya. Keadaan ini adalah lambang sebuah kasih-cinta yang matang dan mendukung perkembangan diri, dan bukan hanya sekadar permainan jiwa yang menyakitkan hati dan menekan perasaan.

Sememangnya setiap perhubungan ada pasang dan surutnya, tetapi jika anda sayangkan diri sendiri dan telah berjaya merasai hidup dalam sepi, sekurang-kurangnya tidak akan rosak binasa jiwa dan raga sekiranya kasih-cinta anda berakhir dengan airmata perpisahan. Namun jika anda seseorang yang dijangkiti Alergi Sepi, airmata perpisahan akan selalu menjadi sahabat kerana anda tidak dapat menahan diri dari menjalinkan hubungan hanya kerana anda merasakan yang diri anda perlu untuk berhubungan!

Tidak berkasih-cinta wajib bermuram-durja?

Dalam kehidupan kita sehari-hari, ada stigma (tanggapan buruk) yang selalu mengejar mereka yang tidak berkasih-cinta. Jikalau anda memberitahu orang lain yang anda tidak mempunyai teman-kekasih, anda selalunya akan dikasihani seperti ada sesuatu yang kurang pada diri anda hingga tiada sesiapa yang mahu mendekati anda. Ini tidak benar dan tanggapan ini bukan hanya sempit malahan bodoh serta menyakitkan hati.

Anda masih lagi boleh hidup tenang jika tidak berkasih-cinta, malahan adalah lebih baik jikalau anda bersendirian dari berkasih-cinta dengan seseorang yang memualkan dan menyakitkan hati anda. Walaupun pelik, kita sebenarnya dilahirkan secara bersendirian dan akan mati juga keseorangan. Kebahagiaan yang dicari harus dikongsi, ianya tidak akan diberikan oleh seseorang kepada kita. Itu bukanlah caranya.

Jangan anda keluar mencari seorang teman-kekasih hanya kerana sahabat-sahabat anda semuanya sudah berpacaran. Jangan pula anda terpengaruh dengan imejan romantis di media massa tentang kasih-cinta kerana itu semua hanya rekaan semata-mata. Anda harus mempunyai kebolehan untuk hidup dengan diri sendiri barulah akan wujud kemampuan untuk anda berkongsi hidup dengan teman-kekasih. Janganlah berharap kewujudan teman-kekasih akan memberi justifikasi kewujudan diri anda, kerana andalah yang harus meraikan kehidupan sendiri sebelum ianya dikongsi dengan orang lain!

Kesepian hilang dengan teman-kekasih sejati

“Sampai bilakah harus saya sendiri?” Ini adalah soalan yang sering diajukan kepada saya oleh mereka yang hidupnya sepi tanpa seorang teman-kekasih. Jawapan lazim yang akan saya berikan adalah tulus dan ikhlas, “Anda harus bersendirian, sehingga anda bersedia untuk kasih-cinta dan anda hanya akan ketemu teman-kekasih yang kekal apabila anda telah benar-benar bersedia untuk menerima kehadiran beliau!”

Tanyalah kepada mereka yang telah lama mendirikan rumahtangga, bilakah saat mereka bertemu dengan teman-kekasih yang kini menjadi teman hidup mereka? Jawapan yang akan diberikan mampu membuatkan anda terkedu – Mereka sendiri tidak pernah tahu, kerana tiada siapa pun yang akan dapat meneka detik waktu mereka akan bertemu dengan bakal isteri atau calon suami. Semuanya akan berlaku dengan tiba-tiba, sebagai anugerah dari Yang Maha Kuasa.

Oleh itu, janganlah terus menjadi mangsa Alergi Sepi. Jangan berduka di saat kesepian kerana ia akan hilang dengan kehadiran teman-kekasih sejati. Walau bagaimanapun ingatlah pesanan terakhir saya, anda harus ‘mencium’ banyak katak comel sebelum salah satunya bertukar menjadi Pangeran Cinta atau Puteri Dewata yang anda nanti-nantikan. Tetapi, janganlah pula anda terus mencari dan mencium sebanyak mungkin katak hanya kerana anda takut dilanda sepi. Yang pastinya teman-kekasih sejati itu akan menyapa anda, sebaik sahaja anda pulih dari Alergi Sepi!