Saat Untuk Berpisah
Airil Haimi Adnan untuk majalah ‘EH!’, segmen ‘Anda dan Dia’, 2004 

Saya pasti tiada seorang pun dari kita yang menjalinkan perhubungan kasih-cinta dengan harapan ianya akan berakhir dengan perpisahan. Saya pasti tiada seorang pun insan yang inginkan perpisahan, kecuali sudah tiada jalan lain yang boleh diambil. Jika kasih-cinta sudah tidak bererti, dan pertengkaran sengit antara anda dan dia berlarutan saban hari, mungkin saatnya sudah tiba untuk anda dan dia berpisah…

Ramai yang tidak faham tentang perpisahan, ramai pula yang salah tanggapan dan percaya bahawa perpisahan itu berlaku apabila anda dan dia sudah saling bermusuhan dan benci-membenci. Ramai pula yang akan tampil memberi pandangan dan komen yang selalunya tidak pula membantu anda dan dia di saat yang genting sebegini. Kali ini, kita akan mengkaji fenomena perpisahan dalam kasih-cinta agar menjadi teladan anda yang telah bercinta, sedang berkasihan, atau yang akan menjalin kasih-cinta di masa depan.

Bila tiba saatnya untuk perpisahan...

Kenapa berpisah?

Tidak ada satu pun sebab spesifik kenapa pasangan teman-kekasih berpisah, dan anda tiada sebab untuk berpisah hanya kerana kawan sepejabat atau rakan sekolej anda telah berpisah dengan teman-kekasih mereka, dan mereka menasihati anda melakukan perkara yang serupa! Sebab-musabab yang diberikan selalunya berbeda di antara satu pasangan dengan pasangan yang lain. Punca perpisahan yang lazim diutarakan adalah seperti kecurangan, saling tidak percaya, ketemu teman-kekasih baru, dan lain-lain lagi.

Ada juga mereka yang berpisah kerana tidak mahu bermusuhan, ada yang berbuat begitu kerana mengejar cita-cita dan impian. Malah ada yang masih bercinta tetapi terpaksa juga berpisah, selalunya kerana kurang persefahaman di antara satu sama lain. Mereka tidak membenci dan berdendam, tetapi ingin mencari ruang baru. Walau bagaimanapun ada juga perpisahan yang berakhir dengan tangisan dan raungan ditambah dengan sumpah-seranah, selalunya kerana anda atau dia tidak dapat untuk menerima perpisahan itu.

Mestikah berpisah?

Sebagai Perunding Kaunseling, masalah kasih-cinta sering diutarakan kepada saya. Malah, saya sendiri mengaku yang saya tidak dapat lari dari masalah kasih-cinta dalam hidup. Walaupun perpisahan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dan bukanlah jalan pertama yang harus dipilih oleh anda dan dia jika perhubungan menghadapi kesukaran, tetapi dalam beberapa keadaan lain ianya adalah penyelesaian terbaik kepada masalah, dilema dan konflik yang melanda sepasang teman-kekasih.

Hanya teman-kekasih itu sahaja yang harus menentukan sama ada perpisahan itu perlu atau tidak, dan orang ketiga tidak dibenarkan untuk masuk campur walaupun orang itu adalah Ahli Keluarga, Pakar Terapi, Teman Rapat atau sesiapapun. Kita hanya boleh memberi nasihat, tetapi lebih baik jika pasangan itu sendiri yang menentukan jalan hidup mereka. Dan kita harus amat berhati-hati dalam memberi nasihat agar tidak semakin rosak binasa sesuatu yang sudah pastinya sukar, seperti suatu perpisahan!

Jika anda dan teman-kekasih sudah lama berbincang atau cuba berbincang dan masih lagi tidak dapat mencapai kata sepakat – Ada kemungkinan yang anda dan dia harus berpisah, kerana perpisahan itu lebih baik dari memendam rasa, berdendam hati, dan marah serta bengis. Walau bagaimanapun, sekali lagi wajib ditekankan di sini perpisahan adalah jalan terakhir yang harus dipilih kerana akibatnya nanti mungkin menyeksakan hingga ke akhir hayat anda dan dia.

Caranya untuk berpisah?

Tiada ‘etika’ yang boleh kita manfaatkan dalam menghadapi saat perpisahan, tetapi empati di antara kedua-dua teman-kekasih amat-amat diperlukan pada saat yang kritikal ini. Anda harus cuba bersabar dan bertenang, walaupun dia marah dan memaki-hamun contohnya. Sebaliknya, jika anda pula yang ditinggalkan dan anda tidak tahu sebabnya, ketahuilah bahawa Tuhan pasti menentukan yang anda akan bertemu seseorang yang lebih sesuai dengan anda. Mungkin dia bukanlah orang yang anda inginkan, tapi pastinya dialah yang diperlukan dan telah ditentukan takdir untuk anda!

Dari pengalaman saya sendiri, kita harus kurangkan percakapan bila tiba saat untuk berpisah agar perang dingin tidak menjadi perang nuklear. Dan janganlah sakiti hati dia, walaupun mungkin hati anda terluka. Anda dan dia pernah berkasih dan bercinta, hormatilah perhubungan itu walaupun masanya sudah sampai untuk berpisah. Jikalau boleh, jangan pula dipulangkan segala pemberian dari dia. Itu akan menyakiti hatinya, kecuali jika dia yang meminta. Ingatlah, sabar itu amat perlu, walaupun ia akan sukar di cari pada saat untuk berpisah.

Dan, kemudiannya selepas perpisahan?

Ambillah masa untuk diri sendiri, dan jangan terus mencari pengganti hanya kerana anda sunyi dan memerlukan teman baru. Sesungguhnya tindakan ini hanya akan merumitkan dan merosakkan lagi keadaan. Carilah cara untuk mengubati hati sendiri, mungkin dengan ahli keluarga atau teman rapat. Atau dengan mencari pengalaman baru. Atau jika duka yang dirasa teramat-amat menyeksakan ingatlah ungkapan saya, “When true love has ended, move on, and all is mended”.

Pastinya sukar untuk meneruskan hidup, contohnya jika anda terpaksa berpisah dengan ‘soulmate’ anda setelah lebih 2 tahun bersama. Dia yang mengenali segalanya tentang anda, yang memahami cara anda berfikir dan bertindak – Kini tiada lagi mungkin kerana kurang persefahaman di antara anda berdua. Untuk mengelakkan permusuhan dan dendam, maka anda dan dia terpaksa meneruskan hidup sendirian.

Bila ditanya oleh orang lain, janganlah anda berkata yang buruk dan hina mengenai dia. Kerana ingatlah, anda dan dia pernah bersama dan berkongsi segalanya. Walau siapapun yang bertanya baik teman rapat atau ahli keluarga, simpan sahaja kenangan yang buruk, dan sebutlah perkara yang baik tentang anda dan dia. Mereka ini tidak akan pernah mengerti kenapa perpisahan telah terjadi. Walaupun anda marah dan sedih, simpanlah memori yang dikongsi kerana tentunya di mana ada benci itu, pernah wujud kasih-cinta.

Ingatlah, jodoh dan pertemuan itu urusan Tuhan, manusia hanya perlu berusaha. Siapa tahu, kalau di jalan hadapan anda dan dia akan bersama kembali? Atau mungkin salah seorang dari anda akan ketemu kasih-cinta yang abadi? Walau apapun, hidup mestilah diteruskan kerana anda dan dia pernah bersama, berkasih dan bercinta. Ingatlah kata pujangga Inggeris “It is better to have loved and lost, than never to have loved at all”.