PRAKATA ‘Menjejak Sang Neomaskulin’
Benih dan baja buku ini…

Menjejak Sang Neomaskulin

Benih buku ini, percaya atau tidak, mula bercambah sejak tahun 2002 lagi ketika saya mula menyumbang artikel untuk ruangan ‘Pendapat’ di majalah Maskulin. Kemudian pada tahun 2007 saya mula merancang secara serius untuk menulis sebuah buku tentang lelaki, untuk lelaki hari ini, berdasarkan penulisan di majalah popular, ruangan kaunseling dan nasihat ‘Bicara Neo Maskulin’ bermula lewat tahun 2005, dan juga projek penyelidikan yang pernah (dan sedang) saya jalankan untuk memahami pelbagai dilema, konflik serta masalah lelaki kontemporari sejak mula bertugas di akademia Malaysia. Tahun ini, akhirnya buku yang selama ini beku di peringkat perancangan dan difailkan di dalam laci angan-angan sahaja akhirnya menjadi realiti dalam masa dua bulan, iaitu Januari serta Februari 2008. Hasilnya adalah ‘Menjejak Sang Neomaskulin’ yang sedang anda baca dan saya berharap anda akan terus membaca buku ini sehingga tamat, tidak kira sama ada anda seorang lelaki mahupun wanita. Tetapi, apa sebenarnya yang dicakupi oleh buku ini dan kenapa ia perlu dibaca oleh setiap individu baik lelaki mahupun wanita?

Sebagai seorang lelaki (kali terakhir saya periksa) sudah lama saya berfikir tentang diri saya sebagai lelaki dan bagaimana dunia di sekeliling saya menyumbang kepada identiti gender lelaki. Pada masa yang sama, lelaki juga sudah lama berusaha untuk mengubah dunia bermula sejak zaman prasejarah lagi. Hubungan refleksif di antara kaum lelaki dan dunia di sekeliling mereka adalah suatu fenomena yang menarik untuk dikaji dan diteliti, tambahan pula pada detik ini di seluruh dunia terutama sekali di negara maju, telah ramai penyelidik pakar dan saintis sosial yang menyumbang kepada pengetahuan kita tentang lelaki moden yang hidup pada era pascamilenium. Walau bagaimanapun, hakikatnya tidak ramai lelaki yang mempunyai masa serta ruang untuk membaca dapatan penyelidikan terbaru tentang gender lelaki. Menjejak Sang Neomaskulin cuba untuk membawa ilmu dan maklumat ini kepada anda, dengan cara penyampaian yang tidak terlalu teknikal dan tidak pula terlalu serius – ini adalah baja yang menyuburkan semangat saya ketika cuba menyiapkan draf manuskrip buku ini.

Dalam erti kata lain, seperti buku yang telah saya tulis sebelum ini Menjejak Sang Neomaskulin sedang meneruskan agenda motivasi telah mati saya, yang cuba mencari jalan tengah di antara penyelidikan akademik dan penulisan media popular – jalan yang sudah lama diteroka oleh ahli akademik tersohor di negara maju dalam usaha mereka membudayakan ilmu pengetahuan melalui penyampaian yang berkesan kepada setiap lapisan masyarakat. Fokus utama buku ini adalah dilema, konflik dan masalah gender lelaki berdasarkan empat komponen utama kewujudan lelaki – fizikal dan luaran, sosial dan antara individu, emosi dan rohani, serta nilai dan sistem kepercayaan – dalam konteks kehidupan lelaki moden di Malaysia khasnya. Diharapkan buku ini kelak akan dapat membawa ilmu serta maklumat dengan darjah kebolehpercayaan dan keesahan yang tinggi kepada kaum lelaki dan sesiapa sahaja yang berminat untuk memahami dunia lelaki kontemporari dengan gaya penulisan yang tidak terlalu formal dan teknikal.

Di setiap penggal buku ini ada rujukan utama yang telah menjadi asas penyediaan penulisan saya untuk penggal berkenaan. Bahan rujukan ini boleh anda jadikan sumber pembacaan lanjut jika anda mempunyai akses, masa dan ruang agar anda boleh mengenali lelaki neomaskulin dengan lebih dekat dan rapat. Untuk pengetahuan anda juga, hampir kesemua contoh dan misalan di awal atau pertengahan setiap penggal buku ini diolah semula dari dilema, konflik dan masalah sebenar yang telah diceritakan kepada saya oleh lelaki dari demografi (agama, bangsa, umur, status, taraf hidup, tempat tinggal) yang berbeza sama ada melalui e-mel, panggilan telefon atau pertemuan empat mata. Sebagai tanda hormat dan demi kerahsiaan klien, nama dan latar belakang mereka telah disunting keluar, akan tetapi ia tidak mengubah kenyataan bahawa hampir kesemua isu dan topik yang diutarakan di dalam buku ini adalah berdasarkan dilema, konflik dan masalah yang benar-benar dihadapi oleh lelaki seperti anda dan juga saya.

Ingin saya terangkan sedikit tentang cara dan gaya penulisan Menjejak Sang Neomaskulin. Pertama, sejauh mungkin Bahasa Malaysia telah digunakan untuk melestarikan bahasa kebangsaan kita berdasarkan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi terbaru. Namun begitu, kerana bidang ilmu gender dan kajian lelaki masih agak baru dalam masyarakat kita, ada kalanya saya selitkan perkataan dari Bahasa Inggeris yang boleh menerangkan tentang sesuatu fenomena, isu atau topik dengan lebih jelas dan jitu. Kedua, anda akan berjumpa banyak tanda soalan di semua penggal buku ini kerana soalan yang diajukan menjemput anda sebagai pembaca untuk berinteraksi dengan apa yang ditulis dan untuk membuat keputusan atau penilaian anda sendiri. Diharapkan soalan yang ditanya tidak mengganggu fokus pembacaan anda sambil memberi peluang kepada anda untuk berfikir secara kritis, menyokong atau menolak, apa yang disampaikan di setiap penggal. Akhir sekali, ingin saya terangkan tentang penggabungan perkataan di dalam buku ini seperti kasih-cinta dan teman-kekasih. Gabungan perkataan ini hanya bertujuan memberi gambaran yang lebih realistik tentang fenomena perasaan (kasih-cinta) dan juga peranan yang dimainkan oleh dua insan yang saling menyayangi (teman-kekasih). Saya hampir pasti anda tidak akan bertemu dengan gabungan perkataan ini di dalam mana-mana kamus.

Akhir kata, kepada anda yang sudi membaca ‘Menjejak Sang Neomaskulin’, terima kasih saya kepada anda dan semoga anda puas membaca buku ini seperti mana saya berasa teruja ketika menulisnya. Sesungguhnya, tidak ada seorang pun lelaki yang boleh digelar sang neomaskulin sejati, akan tetapi semua lelaki di muka bumi ini termasuk juga anda dan saya, boleh belajar untuk berubah dan membawa diri ke arah yang lebih baik, berdasarkan acuan dan aspirasi lelaki neomaskulin. Terima kasih sekali lagi dan salam hormat saya ucapkan, dari ruang hati yang paling dalam.

AIRIL HAIMI MOHD ADNAN
Februari 2008

* Dari Menjejak Sang Neomaskulin klik untuk membaca penggal contoh yang bertajuk ‘Lelaki akan pupus? Kenapa? Bila?’

* Dari Menjejak Sang Neomaskulin klik untuk membaca penggal contoh yang bertajuk ‘Neomaskulin, lelaki (sejati) pascamilenium?’

* Dari Menjejak Sang Neomaskulin klik untuk membaca penggal contoh yang bertajuk ‘Aduhai… sukarnya untuk menjadi sang neomaskulin!’