Bahagian 02: Kebiasaan Spyder B di sekolahnya

Anehnya, sama ada anda percaya atau tidak, Spyder B pada ketika itu masih lagi dikira sebagai serangga remaja namun pemikirannya sudah melampaui pemikiran orang dewasa. Dan seperti yang boleh anda teka, hal ini menjadikan Spyder B semakin dibenci (sebenarnya ditakuti) oleh serangga lain tidak kira peringkat umur.

Kaum serangga, seperti juga manusia, amat benci kepada kelainan. Mereka tidak suka sesuatu yang lain dari yang lain kerana alasannya yang lain itu tidak serupa. Dalam erti kata lain, sesuatu yang tidak serupa dengan majoriti yang sama harus dibenci, dipulaukan dan tidak diberikan ruang untuk melakukan apa-apa.

Proses penyisihan sistematik ini berlaku kepada Spyder B sejak kecil lagi – hanya kerana cara dia berfikir dan bertindak tidak seperti serangga lain. Begitu pun, Spyder B masih lagi bersyukur kepada Tuhan kerana dia tidak dilahirkan sebagai serangga kurang upaya (atau SKU), kerana anda bayangkan saja apa yang mungkin dilalui olehnya jika aspek fizikal Spyder B dan juga cara dia berfikir dilihat sebagai ‘tidak normal’!

Akan tetapi, seperti yang sudah diterangkan Spyder B sudah faham dan sudah masak dengan keadaan ini. Malah, untuk menyedapkan hatinya dan membantunya membawa diri dengan tabah, Spyder B menggelarkan pemikiran ini sebagai pemikiran kedaerahan. Ia membawa erti serangga (dan juga manusia) yang tidak mampu bergerak keluar dari daerah berfikir mereka, sehingga mereka merasakan merekalah yang betul, hebat dan terbaik dalam segala-galanya (dalam kamus manusia pula, hal ini digelar bodoh sombong).

Ini Cikgu Bat

“Kenapa kita mesti belajar pasal matriks nombor, Cikgu Bat? Apa sebenarnya guna matriks nombor tu?” seperti biasa mulut Spyder B akan terlanjur menanyakan soalan-soalan pintar yang selalunya membuat serangga lain merasakan bahawa kecerdasan mereka dicabar.

Selepas seluruh kelas berhenti mengetawakan Spyder B, Cikgu Bat dengan selamba menjawab, “Itu pun awak nak tanya B? Dah ada dalam buku teks kan? Kita belajar jelah!”

Sekali lagi Tingkatan 5 Araknid di Sekolah Menengah Bandar Baru Alam Buana, kota Creepy Crawly gawat dengan hilaian ketawa serangga-serangga remaja dan guru mereka. Tetapi Spyder B tidak ketawa kerana dia masih lemas dengan rasa ingin tahunya.

“Alahai B, kau tu pun bukan pandai sangat bab matematik ni. Diam jelah B, tak payah nak buat macam kau tu pandai sangat”, sampuk Subra Sesumpah, Ketua Pengawas dan pelajar terbaik Tingkatan 5 Araknid.

Yang ini pula Subra Sesumpah

“Betul tu B, kau tu pun bodoh macam aku juga jadi tak payahlah nak buat macam kau tu genius sangat. Aku sepak karang!” kata Chong Cicak yang terkenal sebagai samseng tahi minyak kecil-kecilan di sekolah itu.

Dan yang ini, Chong Cicak

“Sudah tu, sudah!” tempelak Cikgu Bat, dan dia menyambung “Keluar dari kelas ni Spyder B dan jangan masuk balik sebelum habis mata pelajaran saya”.

“Tapi kenapa Cikgu? Saya cuma tanya je…” Spyder B hampir-hampir menitiskan air matanya.

“Diammm! Saya kata keluar, keluar jelah! Awak ni bodoh atau pekak? Keluar dan jangan masuk kelas ni setiap kali matematik saya tak nak tengok muka awak!” terlalu besar kemarahan Cikgu Bat seperti dia sudah dirasuk syaitan.

-bersambung-