MONTAGE PEMBUKAAN ‘XPRESI’…

LISA SURIHANI DI DALAM STUDIO BERSAMA PENONTON

LISA
Ekspres apa di dalam hati anda bersama saya dalam program anda – XPRESI. Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada penonton di studio dan juga di rumah.

Montaj utama Xpresi, setiap Ahad, 2.30 petang

Kita semakin menuju wawasan, tetapi masalah sosial masyarakat kita juga semakin kronik. Itulah sebabnya mengapa anda semua bersama saya pada malam ini, untuk membincangkan masalah-masalah yang melanda masyarakat kita, terutamanya remaja. KELUARGA – tanpa keluarga siapalah kita. Tetapi semakin teknologi kita berkembang, nilai-nilai kekeluargaan di kalangan masyarakat juga semakin menghilang. Benarkah begitu? Kita dengar dulu apa kata mereka di dalam XPRESI.

BREAKER

WAWANCARA UMUM

BACK TO LISA DI STUDIO BERSAMA 3 ORANG TETAMU

LISA
Keluarga adalah asas kepada masyarakat dan merupakan unit terkecil dalam masyarakat. Kita juga memaknakan keluarga sebagai hubungan pertalian darah antara ibu bapa dan anak, abang, kakak dan adik, sepupu, pakcik, makcik, datuk, nenek dan sebagainya.

Jadi untuk melihat sejauh mana kita mengambil tahu akan isu ini, untuk kesekian kalinya saya perkenalkan tetamu setia saya di dalam studio Encik Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Psikologi, Sosiologi, Kaunseling, Kajian Media dan Bahasa Inggeris di Universiti Teknologi Mara cawangan Perak, turut meluangkan masa ialah (TETAMU REMAJA) serta seorang artis yang menjadi sebutan ramai (TETAMU ARTIS).

SOALAN 1 (kepada REMAJA)
Sejauh mana pentingnya keluarga dalam kehidupan anda?

SOALAN 2 (kepada ARTIS)
Anda seorang artis, yang pasti sangat sibuk dengan jadual tersendiri. Apakah perbezaan hubungan anda dengan keluarga dulu dan sekarang?

SOALAN 3 (kepada MOTIVATOR, ENCIK AIRIL)
Adakah tanggungjawab menjaga institusi kekeluargaan ini hanya merupakan tugas mutlak ibu bapa sahaja?

SOALAN 4 (kepada ARTIS)
Adakah setiap kali anda mahu menerima tawaran menyanyi atau berlakon anda akan merujuk kepada keluarga terlebih dahulu?

SOALAN 5 (kepada REMAJA)
Apakah bezanya ketika anda bersama kawan-kawan dan ketika anda bersama keluarga anda?

SOALAN 6 (kepada ENCIK AIRIL)
Bagaimanakah yang kita katakan sebuah institusi kekeluargaan yang benar-benar berfungsi?

SOALAN 7 (kepada ENCIK AIRIL)
Menurut kajian Encik Airil, adakah remaja yang tidak tinggal bersama keluarga lebih terdedah kepada ancaman penyakit sosial?

LISA
Kadangkala sampai masanya kita terasa mahu hidup berdikari. Maka kita pun ambil keputusan untuk tinggal jauh dari keluarga. Tetapi apakah dengan tinggal sendirian bermakna kita sudah cukup berdikari dan dewasa?  Apa pula kata penonton kita, Dafi?

HOST SEGMENT BERSAMA PENONTON

DAFI AF
Kepada sayalah Lisa, keluargalah tempat saya mengadu waktu susah dan senang. Kawan-kawan ni kadang-kadang boleh dengar saja, tapi bukan semua boleh tolong kita. Apa-apa pun, mari kita tanya apa pendapat penonton tentang isu ini.

SOALAN UNTUK PENONTON DI STUDIO – TEXT ON BLACK SCREEN
Benarkah tinggal berjauhan dari keluarga boleh membuatkan seseorang itu lebih matang?

JAWAPAN DARIPADA 3 ORANG PENONTON DI STUDIO.

DAFI AF
Tapi sebenarnya, yang penting adalah kekuatan hati kita. Sejauh mana pun kita pergi, kalau kita masih ingatkan keluarga dan asal-usul, ia boleh mengelak perkara-perkara negatif. Betul tak Lisa, Lisa kupaslah lagi isu ini bersama tetamu-tetamu kita. Kita kembali bersama Lisa.

LISA
Betul juga ya. Kalau tinggal bersama keluarga pun, tapi tidak menghormati institusi keluarga itu, masalah juga kan?

SOALAN 1 (kepada MOTIVATOR, ENCIK AIRIL)
Apa pandangan Encik Airil dalam hal ini?

SOALAN 2 (kepada REMAJA)
Ada remaja berpendapat, tinggal bersama keluarga akan menyebabkan kehidupan kita dikongkong? Betul ke?

SOALAN 3 (kepada ARTIS)
Apa yang anda lakukan untuk menghargai keluarga anda?

SOALAN 4 (kepada ENCIK AIRIL)
Bagaimana pula dengan ibu bapa yang memberikan kebebasan penuh kepada anak-anak mereka? Tidakkah ini akan mengancam sistem kekeluargaan?

SOALAN 5 (kepada SEMUA TETAMU)
Saya nak tanya, kalau di kampung, yang mana unit kekeluargaan sangat rapat hubungannya, setiap perkara yang kita lakukan pasti akan diketahui dengan cepat oleh orang lain.  Apakah perangai kaum keluarga lain yang suka menegur dan mengambil tahu ini wajar kita lihat sebagai menyibuk atau sebenarnya mereka ingin memberi nasihat?

LISA
Orang kata kehidupan di bandar yang semakin pesat dan membangun membuatkan kita kehilangan nilai-nilai kekeluargaan. Benarkah kenyataan itu? Kita akan sama-sama menemui jawapannya sekiranya anda terus bersama saya dalam XPRESI.

BREAKER

WAWANCARA MANGSA DI PUSAT-PUSAT PEMULIHAN AKHLAK – INTERCUT WITH PAPER CUTTINGS MENGENAI MASALAH KEKELUARGAAN

BREAKER

LAKON SEMULA BERSAMA TAM

BERSAMA LISA DAN TETAMU DI STUDIO

LISA
Senario kehidupan di kampung yang lebih mengamalkan sikap kejiranan memang banyak membantu dalam menjaga institusi kekeluargaan. Jika begitu, adakah kenyataan bahawa nilai kekeluargaan penduduk bandar sudah terhakis?

SOALAN 1 (kepada MOTIVATOR, ENCIK AIRIL)
Apa pula pendapat Encik Airil di dalam hal ini?

SOALAN 2 (kepada REMAJA)
Sekiranya satu hari nanti anda juga berpeluang membina keluarga sendiri, adakah anda kekalkan apa yang ada di dalam keluarga anda sekarang, atau ada sesuatu yang hilang yang ingin anda bina kembali?

SOALAN 3 (kepada ARTIS)
Apa peranan golongan artis atau selebriti atau industri hiburan dalam menjayakan kempen kekeluargaan seperti ini?

SOALAN 4 (kepada MOTIVATOR, ENCIK AIRIL)
Benarkah bahawa kejayaan individu itu dalam hidupnya sangat didorong penuh oleh faktor keluarga yang bahagia? Adakah mereka yang datang dari keluarga yang berpecah-belah tidak mempunyai peluang untuk hidup bahagia?

SOALAN 5 (kepada ARTIS)
Kalau saya berikan peluang anda katakan sesuatu kepada keluarga anda, apa anda mahu katakan?

SOALAN 6 (kepada REMAJA)
Sama juga, kalau saya berikan peluang anda menyatakan sesuatu kepada keluarga anda, apa ingin anda katakan?

SOALAN 7 (kepada MOTIVATOR, ENCIK AIRIL)
Pihak manakah sebenarnya yang sangat bertanggungjawab untuk memberitahu remaja bahawa institusi kekeluargaan itu sebenarnya adalah tiang untuk kita membina peribadi yang berjaya?

LISA
Bagaimana pula dengan penonton kita di studio, adakah anda semua percaya bahawa masa depan seseorang itu dipengaruhi oleh bagaimana dia dididik dalam keluarganya?

JAWAPAN PENONTON BERAMAI-RAMAI

LISA
Memanglah berjauhan daripada keluarga itu kadang-kala memberikan kita kebebasan menentukan hidup sendiri. Tetapi adakalanya kita juga perlu terima hakikat bahawa muafakat dalam keluarga sangat berkat dalam kehidupan kita. Kepada mereka yang tinggal jauh daripada keluarga, hubungilah keluarga anda sekarang kerana mereka sebenarnya sangat merindui anda. Sebelum kita berpisah sementara, apa agaknya pesanan tetamu-tetamu kita hari ini kepada remaja-remaja di luar sana.

JAWAPAN DARIPADA PARA PANEL

LISA
Allahyarham Sudirman Haji Arshad dalam lagunya ada berkata, ayah dan ibu, itulah permulaan kami, dapat melihat bulan dan matahari. Maka, begitulah juga seluruh keluarga kita, merekalah tunjang dan nadi kehidupan, tempat kita kembali apabila tiada sesiapa lagi di dunia ini yang dapat menerima kita.

Sehingga bertemu lagi minggu hadapan dengan topik yang lain pula, ekspreslah apa di dalam hati anda bersama saya Lisa dalam program kegemaran anda – XPRESI. Seandainya kita adalah penyambung generasi bangsa – Perkasakan budaya dan moral bangsa kita! Assalamualaikum dan selamat malam…

PERSEMBAHAN KUMPULAN MUZIK